fbpx

Piala Asia: Pakistan tarik diri akibat perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HALIM (tengah) berjabat tangan dengan Noushad disaksikan pengadil India, Ankit Kumar (tiga dari kiri) pada majlis taklimat kepada para pengadil dan pegawai teknikal di Kuala Lumpur hari ini. - WE ARE SEPAKTAKRAW

KUALA LUMPUR – Pergolakan akibat perang memaksa pasukan sepak takraw Pakistan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang akan bermula esok di Stadium Titiwangsa.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF), Noushad Ahmed Khan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Bersama Piala Asia, Datuk Abdul Halim Kader semalam.

Halim berkata, Noushad memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat kerana Pakistan khuatir dengan keselamatan pasukan akibat serangan daripada tentera India.

“Noushad memaklumkan kepada saya bahawa penarikan diri itu disebabkan lapangan terbang antarabangsa negaranya di Islamabad terpaksa ditutup akibat bimbang dengan ancaman diserang India.

“Enam pemain dan jurulatih serta pengurus pasukan pada mulanya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu malam tadi (8 Mei) ke Kuala Lumpur,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pada masa sama, beliau turut meluahkan rasa sedih dengan penarikan diri Pakistan memandangkan pasukan itu sudah mengeluarkan belanja cukup besar sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Asia.

“Kami berasa sedih dengan keputusan tersebut memandangkan Pakistan sudah memberikan komitmen menerusi perbelanjaan cukup besar untuk menghantar pasukan ke Piala Asia, termasuk kos penerbangan.

“Pakistan cuba menjadikan Piala Asia sebagai medan pendedahan selain pertandingan antarabangsa 2025 pertama selepas tidak dapat beraksi pada Piala Dunia di Bihar, India (20 hingga 25 Mac),” ujar Halim.

Sementara itu, pasukan India sudah pun tiba di Kuala Lumpur dan akan beraksi dalam acara regu, double serta regu berpasukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI