BUKIT KAYU HITAM – Tiga lelaki termasuk dua warga Thailand yang leka memindahkan diesel ke dua kenderaan pacuan empat roda terkejut apabila diserbu Pasukan Polis Marin Wilayah 1 (PPM W1) di sebuah kawasan perindustrian di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 9.30 pagi itu, ketiga-tiga mereka berusia antara 39 hingga 51 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Che Ari berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin PPM W1 Kuala Kedah susulan maklumat awam.
“Ketiga-tiga suspek ditahan bersama dua buah kenderaan pacuan empat roda yang dikesan sedang melakukan aktiviti pemindahan diesel dari skid tank ke kenderaan berdaftar Thailand secara tidak sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen sah berkaitan aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, turut dirampas ialah diesel dianggarkan sebanyak 125,000 liter, dua kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand, tujuh unit skid tank dan satu unit pam minyak bermeter nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM801,750.00.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kubang Pasu untuk siasatan dan tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE