PENGASINGAN sisa dapur harus diberi keutamaan kerana ia kunci kejayaan sistem kitar semula.

Sampah kita, dosa siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAN hari, ribuan tan sisa diangkut keluar dari dapur rakyat Malaysia, membentuk gunungan najis moden yang memualkan, tinggal menunggu masa meledak jadi bencana senyap.

Segala-galanya dihantar ke tapak pelupusan seolah-olah bumi ini tidak kenal batas.

Namun, di sebalik segala jerih kempen kitar semula, mengapa kita masih gagal memaknakan konsep ini dalam erti hidup harian?

Sejak dua dekad lalu, kerajaan telah mencuba pelbagai pendekatan termasuk iklan gah, maskot lucu, slogan berapi, namun realiti kekal menyakitkan.

Tong pengasingan tetap kosong, kesedaran rakyat masih rendah, dan undang-undang seolah-olah hanya bahan pameran dalam laporan dasar.

Dalam dunia yang kononnya menginjak ke arah bandar pintar dan kemampanan, kita masih bertatih seperti bangsa baru bangun daripada lena panjang.

38,000 tan sisa pepejal dibuang setiap hari, angka itu bukan sahaja menakutkan, malah mencerminkan kecuaian kolektif terhadap bumi ini dan lebih malang,
tiada kesungguhan besar untuk membetulkan kekeliruan struktur pengurusan sisa yang terlalu lama dibiarkan retak.

Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusoff Ishak menyifatkan kegagalan itu berpunca daripada dasar yang tidak seragam antara negeri dan Persekutuan.

“Masalah pengurusan sisa di Malaysia terumbang-ambing kerana tiada hala tuju konkrit dan kesinambungan dasar.

“Sebagai contoh, undang-undang pengasingan sisa telah lama wujud, namun masih tiada keberanian politik untuk menguatkuasakannya.

“Kempen pula berlegar pada naratif usang tentang pengasingan botol, kaca dan kertas, seolah-olah masyarakat tidak berhak diberikan pengetahuan yang lebih matang,” katanya.

Menurut Mohd. Yusoff, mentaliti masyarakat juga menjadi batu penghalang. Rakyat mahu mudah, pantas dan bebas daripada tanggungjawab.

“Pengasingan sisa adalah kunci utama, namun jika pihak berkuasa terus berdolak-dalik untuk melaksanakan undang-undang tegas, segala usaha akan kekal menjadi retorik dalam kertas kerja.

“Lebih menyedihkan, kita masih terkongkong dalam logik sisa konvensional, sedangkan realitinya, pengasingan hanya memerlukan dua kategori,boleh dikitar dan tidak boleh dikitar,” ujarnya.

Pun begitu, Yusoff melihat potensi besar menerusi pendekatan Extended Producer Responsibility dan kerangka Environment, Social and Governance, yang mampu mengangkat sektor ini ke tahap lebih strategik andai digerakkan dengan betul.

“Ada peluang besar menerusi dua kaedah itu. Namun, usaha ini mesti dipantau badan bebas agar tidak menjadi topeng untuk aktiviti greenwashing.

“Kita tidak perlukan sistem sempurna. Apa yang perlu ialah keberanian untuk melaksana dasar yang telah digubal sejak sekian lama,” tegasnya.

Ketika ditanya tentang negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang begitu berjaya memupuk budaya kitar semula sehingga menjadi amalan rohani warga, Dr.

Mohd. Yusoff mengakui kita masih jauh untuk menyamai disiplin luar biasa itu.

“Kita tiada DNA Jepun dari segi disiplin dan ketertiban, namun pendekatan mereka boleh disuaipadankan dengan realiti di sini, terutama apabila lebih 50 peratus sisa negara adalah sisa makanan.

“Oleh itu, pengasingan sisa dapur harus diberi keutamaan kerana ia menjadi kunci kepada kejayaan mana-mana sistem kitar semula di dunia ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN