PETALING JAYA – Gadis B40 di Selangor yang lari dari rumah akan menghilangkan diri antara tujuh hingga 30 hari berdasarkan statistik yang diberikan pihak berkuasa.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, statistik menunjukkan 419 orang dengan 304 daripadanya perempuan dilaporkan hilang bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun dalam tempoh yang sama.
Katanya, tempoh masa paling lama dilaporkan hilang bagi kategori umur tersebut adalah tujuh hari dengan 237 kes. Bagi 14 hari pula sebanyak 82 kes diikuti 21 hari (38) dan 30 hari (20).
“Daripada keseluruhan yang hilang, seramai 377 orang berjaya ditemui semula manakala 42 lagi masih hilang. Tiada kematian direkodkan bagi kes kehilangan bawah 16 tahun,” katanya.
Menurut Anfaal, berbeza untuk umur 16 hingga 18 tahun didapati 47 kes kehilangan berjaya ditemui semuanya semula bagi tempoh sama.
Pecahan umur pula menunjukkan mereka berusia 16 tahun melibatkan 20 kes, 17 tahun (18) dan 18 tahun (9).
“Hanya satu kes kematian melibatkan remaja perempuan berusia 17 tahun akibat kemalangan jalan raya tahun lalu. Mangsa ditemui semula setelah enam hari dilaporkan hilang.
“Setakat ini, tiada kes mereka yang hilang dijadikan pelacur atau pengemis sindiket tertentu,” jelasnya.














