Meskipun isu kekeliruan berhubung pertukaran penganjur hangat diperkatakan di media sosial menjelang konsert, ramai peminat tetap menzahirkan penghargaan kepada penganjur asal yang bertungkus lumus membawa kumpulan rock alternatif Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), kembali ke Malaysia selepas 19 tahun.

Himpun 140,000 Killjoys, Hello Universe tetap ‘OG’ sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA  – “Ada pengorbanan yang orang tak lihat.” 

Demikian perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penganjur acara Hello Universe, Adam Ashraf atau lebih dikenali sebagai Adam Ashraf Kingsman terutama selepas Konsert My Chemical Romance (MCR) Live in Kuala Lumpur yang berlangsung  dua malam berjaya mengumpulkan 140,000 penonton di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan menghimpunkan  jumlah  penonton luar biasa itu, perjalanan merealisasikan konsert berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah buat penganjur ‘OG’ itu yang bertungkus-lumus sejak tahun lalu. 

Adam menerusi hantaran sama di Threads,  turut berkongsi sekeping gambar suasana konsert yang memperlihatkan puluhan ribu penonton memenuhi TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi peminat yang rata-ratanya menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan impian mereka menyaksikan MCR beraksi di Malaysia.

“Terima kasih Hello Universe sebab bawa MCR datang sini. Kami menangis malam tadi, tak sangka mereka akhirnya berada di depan mata,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi peminat menyifatkan kejayaan penganjuran konsert itu sebagai bukti kemampuan Hello Universe mengendalikan persembahan artis bertaraf antarabangsa.

“Terima kasih sebab bawa MCR datang. Hello Universe dah buat yang terbaik bawa MCR datang untuk kami,” coret seorang peminat. 

Tidak kurang juga peminat yang mengakui tidak mengetahui cabaran di sebalik tabir, namun tetap menghargai usaha penganjur membawa kumpulan tersebut ke Malaysia.

“Saya tak tahu apa yang berlaku di belakang tabir, tapi saya tak kisah. Apa yang pasti, MCR ada di Malaysia disebabkan kamu. Terima kasih kepada penganjur daripada saya dan diri saya yang masih kecil,” tulis seorang lagi pengguna.

Sepanjang konsert hampir tiga jam itu, MCR yang dianggotai Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero tampil dengan persembahan bertenaga menerusi rangkaian lagu popular, selain mengetengahkan elemen teatrikal yang sinonim dengan identiti kumpulan berkenaan.

Terdahulu, penganjuran konsert itu turut menjadi perhatian apabila timbul spekulasi mengenai kemungkinan pembatalannya susulan penundaan tarikh persembahan, selain dakwaan jualan tiket kurang memberangsangkan.

Konsert terbabit turut berdepan spekulasi hak penganjuran bertukar tangan saat akhir namun sehingga kini kebenaran perihal terbabit belum didedahkan secara rasmi kepada peminat.

Bagaimanapun, Hello Universe meneruskan perancangan seperti dijadualkan, malah membuka jualan tiket tambahan bagi zon Tier 3 sekali gus membolehkan lebih ramai peminat menyaksikan kemunculan semula MCR di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN