SIAPA yang tidak mengenali keserasian antara dua bintang terkenal Bollywood iaitu Hrithik Roshan dan Kareena Kapoor?
Pada zaman kegemilangan dan ketika berada di puncak populariti, kedua-dua pelakon itu sering digandingkan sebagai pasangan hero dan heroin dalam filem lakonan mereka.
Namun selepas membintangi filem Main Prem Ki Diwani Hoon pada tahun 2003, Hrithik dan Kareena tidak pernah bergandingan lagi.
Ada gosip liar mengatakan ketika itu Hrithik dan Kareena sebenarnya menjalin hubungan sulit semasa membintangi filem Mujhse Dosti Karoge.
Kini selepas 23 tahun, mereka membuat kejutan apabila muncul dalam sebuah video yang dimuat naik oleh pengarah dan penerbit terkenal Karan Johar.
Video tersebut menunjukkan Hrithik dan Kareena kembali membawakan watak ikonik mereka dalam filem blockbuster Kabhie Kushie Kabhie Gham.
Apa yang membuatkan peminat lebih teruja adalah kapsyen hantaran itu yang tertulis, ‘ada cerita yang belum berakhir selepas 25 tahun’.
Biarpun belum dapat disahkan apa projek sebenar mengenai video tersebut, namun bagi peminat, masing-masing sudah cukup gembira dan teruja melihat pasangan kesayangan kembali berkongsi skrin.
“Oh Tuhan. Apakah ini? Tak sabar nak lihat pasangan ini kembali beraksi. Harap-harap ini adalah gandingan untuk filem baharu. Sudah lama menantikan mereka kembali bergandingan,” tulis netizen.
Namun ada juga yang mengatakan bahawa kedua-dua pelakon itu bukan terlibat dalam projek filem, sebaliknya iklan untuk mempromosikan projek AirBNB.
Walau apa pun agendanya, peminat mengharapkan ada khabar gembira akan diumumkan tidak lama lagi.














