fbpx

Pengawal keselamatan rakam video, gambar ‘aib’ remaja ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar tindakan seorang lelaki merakam video dan gambar seorang remaja di sebuah pasar raya dekat Kajang.

KAJANG – Tindakan seorang pengawal keselamatan merakam video dan gambar ‘aib’ seorang remaja menggunakan telefon bimbit di sebuah pasar raya di sini, membawa padah apabila ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular di Instagram memaparkan kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7.30 malam, 24 April lalu.

Menurutnya, pengadu ketika itu bersama anaknya berusia 16 tahun di kaunter sebuah pasar raya untuk membuat pembayaran sebelum didatangi seorang lelaki yang cuba merakam gambar mengaibkan remaja berkenaan.

“Bagaimanapun, cubaan tersebut berjaya digagalkan oleh seorang lelaki yang berada di dalam kedai tersebut dengan menegur suspek.

“Setelah ditegur, suspek yang menafikan perbuatannya terus beredar meninggalkan pasar raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan merampas sebuah telefon bimbit kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek yang merupakan duda anak tiga tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek direman sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI