KOTA TINGGI – Seorang lelaki diberkas selepas disyaki cuba melanggar anggota polis ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan dalam kejadian di kawasan perumahan generasi belia Felda (PGBF) Felda Sungai Sibol di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, suspek yang ditangkap berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, anggota polis bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian curi kenderaan kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota polis melakukan serbuan ke atas rumah sewa suspek.
“Lelaki itu dalam tindakan melarikan diri dengan cuba melanggar anggota bertugas sebelum tembakan terpaksa dilepaskan ke arah kereta suspek.
“Tiada tembakan balas daripada suspek dan kita berjaya menahan lelaki berkenaan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, kejadian tembakan itu tular di media sosial Facebook sehingga menimbulkan kegusaran penduduk sekitar.
Hussin berkata, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut dan menjejaki saki-baki rakan penjenayah terbabit.-K! ONLINE














