CHEF PUAN SRI NISA BAKRI tidak pernah menyangka akan terlibat dalam dunia masakan secara serius. Gambar kanan menunjukkan dirinya dianugerahkan gelaran 'Chef' oleh World Culinary Arts London pada 2023.

Suka masak sendirian, buku resipi ubah hidup Chef Puan Sri Nisa Bakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Chef Puan Sri Nisa Bakri bukanlah sesuatu yang asing di dalam dunia kulinari di Malaysia.

Malah, dia yang langsung tidak mempunyai pendidikan formal dalam dunia kulinari telah menerima pelbagai anugerah atas sumbangan dan penglibatannya dalam bidang tersebut.

Sepanjang kariernya, dia juga telah dilantik sebagai Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019 serta mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018.

Selain itu, dia juga menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Entrepreneur Award 2019 anjuran ASEAN Women Entrepreneur Network (AWEN) di Bangkok.

Pada 2023, dia bahkan diberikan pengiktirafan dengan gelaran ‘Chef’ oleh World Culinary Arts London.

Menelusuri kisah kejayaannya, Chef Nisa, 58, berkata, dia sendiri tidak menyangka akan terlibat secara serius dalam dunia masakan.

Menurutnya, dia memang suka memasak sejak remaja.

“Dalam hidup, saya langsung tidak pernah mempunyai hasrat untuk jadikan bidang kulinari ini sebagai satu kerjaya.

“Tetapi saya memang minat memasak kerana ia beri satu kepuasan kepada diri saya kerana dapat membahagiakan dan menggembirakan orang lain dengan masakan saya.

“Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang masakan, cuma saya ada hadiri kelas-kelas masakan yang dianjurkan dalam tempoh singkat untuk belajar,” katanya.

Sebelum terlibat dalam dunia kulinari dia terlebih dahulu membina kerjaya dalam bidang kewangan. Selepas menamatkan pengajian jurusan pentadbiran perniagaan di sebuah universiti di Sydney, Australia pada hujung 1980-an, dia pulang ke tanah air dan bekerja dalam sektor perbankan selama hampir 12 tahun.

Pada 1999, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi kewangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dia memilih untuk bekerja sambil belajar ketika itu.

“Pada waktu itu juga saya berdepan masalah tumor otak yang mengambil masa dua semester untuk pulih. Sepatutnya pengajian saya tamat pada 2004, namun saya terpaksa menangguhkannya dan akhirnya dapat selesaikannya pada 2005.

“Walaupun diuji ketika itu, Alhamdulillah saya dapat tamatkan pengajian dengan Ijazah kelas pertama,” ungkapnya.

Meneruskan lanjut ceritanya, Chef Nisa berkata, selepas tamat pengajian dia tidak lagi ingin bekerja dalam bidang kewangan, sebaliknya memilih untuk menjadi usahawan.\

Pelancaran poduk Mi Wantan Cili kerjasama Chef Nisa dan jenama Meet Me berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
– FARIZWAN HASBULLAH

Chef Nisa mula melakukan kajian tentang bidang perniagaan yang boleh diceburinya dan akhirnya dia memilih untuk terlibat dalam bidang fesyen dan bekerjasama dengan orang Itali untuk mengeluarkan beg tangan jenama sendiri.

Kemudian, wanita berasal dari Kuala Lumpur ini terlibat pula dalam perniagaan penjagaan barangan kulit dengan menghasilkan produk set penjagaan barangan kulit untuk beg kulit premium.

“Saya melakukan kajian selama 18 bulan bersama rakan kongsi saya di London dan produk kita ini masuk ke 12 buah negara.

“Pada tahun 2012, sebuah syarikat dari Jerman membeli syarikat yang kami usahakan itu dan kami menjualnya kepada mereka,” katanya yang merupakan isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin.

Jelas Chef Nisa yang mempunyai seorang anak dan dua cucu itu, selepas menjual syarikat tersebutlah dia meneruskan hobinya yang suka memasak.

Malah, dia sering memasak dan mengadakan jamuan kepada kawan-kawannya, dan rata-rata memberikan maklum balas yang baik terhadap masakannya.

Ada juga yang bertanyakan resipi kepadanya dan itu juga telah mendorongnya untuk menghasilkan sebuah buku resipi bertajuk I am Not a Chef pada 2015.

Buku berkenaan mengandungi 25 resipi ciptaannya.

“Buku resipi ini sangat mengubah hidup saya dan orang mula mengenali saya serta media mula datang untuk menemu bual saya.

“Buku resipi ini juga telah membawa saya menjelajah ke pelbagai pelusuk dunia,” ujarnya.

di samping suaminya, Bakri yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara dan ahli keluarga semasa bergambar pada Aidilfitri lalu.

Melalui buku tersebut juga, dia telah dijemput ke beberapa negara untuk mempersembahkan demo masakan.

Selain itu, antara pencapaian yang membanggakan adalah apabila dia diberi penghormatan untuk memasak dan menjadi pembekal makanan bagi London Fashion Week 2018.

Selepas berjaya menghasilkan buku resipi, dia kemudian mengeluarkan pes makanannya sendiri.

Pada tahun 2019, dia membangunkan Nisa Bakri Gourmet untuk mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan serta menjalankan perkhidmatan katering.

Namun, setelah menjalankan perkhidmatan katering, tiba-tiba pandemik Covid-19 melanda dunia.

Chef Nisa menjelaskan, pada mulanya dia risau akan nasib pekerjanya ketika negara sedang dilanda pandemik tersebut.

“Aturan Allah itu sentiasa indah dan perkhidmatan katering yang saya usaha itu mendapat permintaan pada waktu itu.

“Ramai yang menginfak dan meminta kami memasak untuk diberikan kepada pasukan barisan hadapan yang sedang bertugas pada ketika itu,” terangnya.

Dalam pada itu, Chef Nisa menjelaskan, dalam mengusahakan perniagaan tersebut dia suka untuk menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai pihak.

Malah, dia turut bekerjasama dengan Yayasan Nurjiwa untuk program infak makanan.

Terkini, dia telah menghasilkan produk ready to eat yang mampu bertahan lebih lama untuk tujuan infak.

“Sebelum ini kami menyediakan makanan yang dimasak untuk infak dan kadangkala makanan ini boleh basi sekiranya dibiarkan lama.

“Oleh itu, kami menghasilkan produk yang sedia dimakan dan tahan lebih lama serta mereka yang menerima makanan ini boleh menyimpannya untuk dimakan pada hari lain,” terangnya.

Dalam pada itu, baru-baru ini dia turut menjalinkan kerjasama dengan jenama Meet Mee dengan mengeluarkan produk Mi Wantan Cili.

Chef Nisa juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan Mi Wantan Cili tersebut yang mengambil masa hampir setahun.

“Salah satu sebab kenapa saya suka menjalinkan kolaborasi bersama Meet Mee untuk mengeluarkan Mi Wantan Cili ini adalah berbalik kepada tujuan asal saya untuk menjadi usahawan.

“Tujuan saya menjadi usahawan adalah untuk membantu lebih ramai orang menjana pendapatan melalui penghasilan produk ini,” ujarnya.

Pelancaran rasmi Mi Wantan Cili tersebut telah berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Chef Nisa memberitahu dia juga gemar melakukan aktiviti mendaki gunung dan telah menawan Gunung Kinabalu, Sabah.

Mengenai minat memasak, Chef Nisa menjelaskan, ibunya banyak mempengaruhinya untuk minat dalam bidang masakan. Sejak kecil dia telah menolong ibunya menggiling cili, menghasilkan tosai dan sebagainya.

“Pendedahan daripada ibu saya menyebabkan saya suka memasak dan ketika zaman belajar saya sering memasak kepada kawan-kawan dan sehingga kini saya suka memasak.

“Di dapur saya juga mempunyai kebiasaan di mana saya suka memasak secara bersendirian dan tidak boleh ada orang datang mengganggu.

“Selain itu, menjadi kebiasaan juga buat saya ketika memasak saya akan mendengar alunan zikir Asmaul Husna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN