fbpx
Pekerja sebuah kedai emas di Jalan Semerak, Kota Bharu menimbang barangan kemas yang dijual pelanggan di premisnya semalam.

Tauke belanja RM100,000 sehari beli emas terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai emas menyediakan wang tunai sehingga RM100,000 sehari untuk membeli barang kemas terpakai yang dijual oleh pelanggan yang datang ke premis sejak lebih seminggu lalu.

Harga semasa emas terpakai yang ketika ini mencecah RM425 segram menyebabkan orang ramai terutamanya golo­ngan wa­nita mengambil peluang untuk ‘mencairkan’ bara­ngan kemas mereka kepada wang tunai.

Peniaga kedai emas, Sarah Yasmin Shuhaimi berkata, meskipun stok wang seba­nyak RM150,000 itu tidak habis dalam sehari, permintaan ter­hadap jualan emas terpakai meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ada seorang pelanggan datang menjual emas sehingga mencecah RM50,000 di premisnya pada minggu lalu.

“Kebiasaannya, pelanggan yang berhasrat untuk menjual barangan kemas mereka dalam kuantiti yang banyak akan ­menghubungi kedai emas terlebih dahulu. Peniaga juga perlu bersiap sedia untuk menyediakan wang tunai.

“Terdapat empat hingga lima pelanggan dalam sehari menjual barang kemas mereka se­perti rantai, gelang dan cincin untuk tambahan simpanan, malah ada yang mahu membina rumah baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Sarah Yasmin, selain menjual barangan kemas, terdapat pelanggan mengambil peluang menukar barangan kemas yang lama kepada reka bentuk baharu.

“Seorang pelanggan wanita datang ke kedai saya hari ini (semalam) menjual barangan kemas yang bernilai RM21,300.

“Harga semasa emas baharu ketika ini yang mencecah RM449 segram tidak menghalang orang ramai untuk terus membuat pelaburan dengan membeli barangan kemas,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Azmira Abdullah, 39, berkata, dia mencuba nasib membawa rantai berharga RM10,000 yang dibeli oleh suaminya kira-kira lima tahun lalu untuk dijual di sebuah kedai emas pada minggu lalu.

Menurutnya, dia terkejut apabila harga semasa bagi barangan kemas terpakai untuk rantai emas miliknya itu mencecah RM45,000.

“Saya pada awalnya mahu menjual rantai itu, namun mengambil keputusan untuk menangguhkan hasrat itu pada saat akhir.

“Difahamkan, harga emas dijangka naik lagi selepas ini. Apabila emas mencecah RM460 segram, mungkin ketika itu saya akan menjual rantai tersebut untuk menambah wang simpanan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN