fbpx
GILA-GILA, namun dek terlalu kerap diasak persoalan tentang cahaya mata, ada ketikanya jiwa kental Reen Rahim terusik. Masih rasional, dia sebaliknya mengharap doa agar impian bergelar ibu termakbul jua.

‘Bergenang air mata bila orang tanya soal anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGELINTIR orang mungkin menganggap bukan sesuatu pelik apabila persoalan tentang zuriat disuakan buat pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin.

Pertanyaan berkisar anak bahkan menjadi modal asas dalam budaya percakapan orang kita.

Situasi sama dilalui pelakon Reen Rahim yang tidak terlepas daripada berdepan soalan yang mungkin sensitif bagi sesetengah orang, terutama ketika berkunjungan ketika raya dan Syawal.

Memandang positif, pemilik nama lengkap Noreen Ashikin Abd. Rahim tidak melatah sebaliknya menganggap situasi sebegitu sebagai satu segmen ramah mesra setelah sekian lama tidak bersua muka.

Tidak terasa hati, namun dalam masa sama dia sebenarnya mengharapkan gugusan doa agar dikurniakan cahaya mata kelak.

“Hantaran saya dalam Instagram sebelum ini bukan nak melenting tetapi lebih kepada konten semata-mata. Realitinya memang ada yang bertanya, cuma saya tak ambil hati.

“Biasalah bila dah lama tak jumpa keluarga besar, pasti akan ada soalan tentang anak. Lagi pun kami sudah berkahwin selama dua tahun setengah.

TAMPAK kental, jiwa Reen juga terhiris apabila terpaksa menelan solan tentang ketiadaan zuriat setelah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga. – FARIZ RUSADIO

“Saya anggap itu topik perbualan orang tua dan doa orang ramai agar saya juga dikurniakan anak,” katanya dalam satu pertemuan istimewa dengan HibGlam.

Mendalam lubuk jiwanya, wanita asal Klang, Selangor itu akhirnya meluahkan apa terbuku di dalam hati.

Luaran terlihat kental, nalurinya juga sebenarnya mudah terusik lebih-lebih lagi bercakap perihal zuriat yang sememang dinantikan.

Besar harapan Reen, setiap butiran pertanyaan tersebut ditukarkan menjadi doa agar dia dan suami berpeluang menikmati momen bergelar ibu bapa.

“Jauh di sudut hati, tipulah kalau tak terasa, bergenang juga air mata saya bila orang tanya, cuma saya mahu semua orang tukar persepsi. Selain tanya tentang anak, apa kata kita doakan agar pasangan berkahwin dikurniakan cahaya mata.

“Saya suka kalau dapat doa yang baik-baik berbanding daripada soalan yang kadang-kadang boleh menyakitkan hati.

“Jadi, saya harap orang ramai lebih peka dengan soalan sensitif. Nasib baik jiwa saya kental, jadi tidaklah terasa sangat,” ujar wanita berusi 37 tahun itu.

Melanjutkan cerita, bila-bila masa sahaja Reen bersedia menimang cahaya mata, memandangkan zaman ‘bulan madu’ dengan suami juga sudah lama berlangsung.

“Wanita mana yang tak pernah bersedia untuk menimang anak. Saya pun begitu, tetapi lebih kepada perasaan teruja untuk tambah ahli keluarga.

“Saya sendiri sering bahasakan diri sebagai ‘mummy’ dengan anak-anak buah. Keinginan untuk mempunyai anak sendiri sangat tinggi.

“Tidak sabar sebenarnya nak merasai pengalaman mengandung, bersalin dan membesarkan anak bersama suami,” jelasnya teruja.

Reen kini mengehadkan penglibatan dalam dunia lakonan demi fokus terhadap perniagaan bersama suami.

Ekstra manja

Bukan hanya isu zuriat, pelakon drama Cinta Ayana itu turut diajak bercerita tentang suhu rumah tangganya.

Akuinya, suami adalah tempat bermanja. Selepas berstatus isteri, dia berasa lebih terjaga saat di samping suami.

“Selepas berkahwin, saya jadi ekstra manja dengan suami. Dialah tempat saya meluah perasaan dan teman berborak.

“Mana-mana saya pergi pun pasti dia ada di samping tidak kira waktu. Saya rasa lebih selamat kalau dia ada,” tuturnya.

Dari sisi lain pula, apabila dilihat keluar tanpa kelibat suami, pelbagai spekulasi timbul sehingga rata-rata tidak senang duduk mahu mencungkil andai wujud sebarang isu.

Bertindak pantas, Reen menangkis spekulasi selain menegaskan rumah tangganya baik-baik sahaja dan hanya menghadiri acara sendirian kerana kesibukan kerja teman hidupnya itu.

“Baru-baru ini saya pergi ke rumah terbuka, ramai pula yang pelik kerana suami tiada di sisi. Ada orang ingat saya ada masalah rumah tangga.

REEN sering bersangka baik bahawa pertanyaan orang tentang anak adalah satu modal untuk bercerita, terutama apabila lama tidak berjumpa.

“Padahal, suami ada kerja dan saya sendiri tidak mahu ditemani. Kadang-kadang pelik juga dengan tanggapan netizen.

“Harap semua tenang ya, saya masih baik-baik dengan suami. Tidak mungkinlah dia akan menemani saya 24 jam,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Reen kini sibuk dengan perniagaan sendiri yang dibangunkan bersama suami.

Dia juga yang baru sahaja masuk ke dalam set penggambaran bakal tampil dengan drama terbitan Astro kelak.

“Sekarang saya sibuk menguruskan perniagaan produk penjagaan diri. Bila ada bisnes, saya hadkan penerimaan tawaran lakonan.

“Kini, saya hanya ambil satu tawaran berlakon drama Thariq Ridzuwan Commando dan sudah mula menjalani penggambaran.

“Saya pun tidak mahu tamak kaut semua tawaran lebih-lebih lagi apabila mahu menguruskan dua perniagaan,” tutupnya.

DISANGKA mula berdepan masalah rumah tangga kerana hadir ke acara hiburan tanpa ditemani suami, Reen bertegas, rumah tangganya bersama Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin masih utuh seperti pasangan baru berkahwin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN