fbpx
MEMBERI duit raya ketika sambutan perayaan adalah sama seperti sedekah atau hadiah. – GAMBAR HIASAN

K2

Status duit raya daripada kaki judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASSALAMUALAIKUM ustaz, saya ada kenalan yang memang dikenali dengan sikap suka berjudi. Ketika hari raya, dia selalu memberikan duit raya kepada anak-anak saya. Soalan saya, bolehkah kita menerima duit raya daripada kaki judi? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: Pemberian duit adalah kebiasaan yang berlaku ketika perayaan Aidilfitri yang bersifat hadiah dan sedekah. 

Pemberian duit raya kepada kaum keluarga serta jiran tetangga dan sebagainya adalah harus hukumnya. Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim serta budaya kunjung mengunjung. 

Namun begitu, timbul persoalan, apakah status menerima pemberian duit raya daripada orang yang memang diketahui dia seorang kaki judi dan kebanyakan pendapatannya terdiri daripada aktiviti tersebut? 

Ini kerana, judi merupakan satu perkara yang amat dilarang dalam Islam dan hasil pendapatan daripadanya adalah haram untuk digunakan. 

Ulama tafsir menerangkan bahawa perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana akan membawa kepada kelalaian dan perbuatan buruk lain seperti meninggalkan solat, tidak mengingati Allah serta maksiat-maksiat yang lain, bahkan lebih teruk akan menyebabkan permusuhan serta pembaziran harta.(Rujuk Tafsir al-Maturidi 117/2; Tafsir al-Quran al-Aziz 219/1)

Selain itu, Allah SWT juga menyamakan judi dengan perbuatan kotor lagi keji yang perlu dijauhi manusia. 

Firman Allah SWT; “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, 90)

Pada hakikatnya, perkataan kotor daripada perbuatan syaitan tidaklah menunjukkan hakikat syaitan yang melakukannya, tetapi ia bagi menjelaskan bahawa perbuatan-perbuatan tersebut adalah dilarang lagi haram dan perlu dijauhi. (Rujuk Tafsir al-Maturidi 604/3; Tafsir al-Thabari 564/10)

Oleh itu, sudah jelaslah kenapa setiap manusia perlu menjauhi judi kerana perbuatan tersebut akan membawa pelakunya kepada pelbagai kemudaratan dan terdorong untuk melakukan maksiat-maksiat lain.

 Mengenai persoalan yang diajukan, menerima duit raya ketika hari perayaan adalah sama seperti menerima sedekah atau hadiah seperti yang kami nyatakan. 

Sementara status wang yang diterima tersebut perlu diteliti dengan lebih lanjut sama ada orang tersebut memang pendapatannya daripada hasil judi ataupun bercampur dengan sumber pendapatan lain yang halal. Ini kerana, ulama telah membahagikan harta kepada dua kategori iaitu harta yang haram pada sifatnya dan harta haram disebabkan faktor luar dan hukum bermuamalat dengan kedua-dua jenis harta tersebut adalah berbeza.

Oleh itu, menurut kenyataan yang diberikan penanya, kami memahami bahawa orang tersebut bukanlah menjadikan aktiviti judi sebagai profesionnya, boleh jadi dia mempunyai kerja yang lain. Bagi keadaan ini, hukumnya adalah makruh menurut pendapat Imam Nawawi dalam Raudhah al-Tholibin.

Di samping itu, sekiranya seseorang memutuskan untuk menerima pemberian tersebut, maka tidak menjadi masalah baginya dan dia tidak menanggung dosa pemberi duit raya yang berjudi tersebut. 

Kesimpulannya, hukumnya adalah makruh untuk menerima duit raya daripada seorang kaki judi kerana datang daripada sumber bercampur antara halal dan haram. 

Sekiranya seseorang menerima juga, maka tidak menjadi masalah dan tidak berdosa kerana dosa berjudi tersebut adalah pada pelakunya sahaja. Namun begitu, penerima tidak boleh reda dengan perbuatannya itu dan disarankan supaya menasihati pelaku tersebut untuk hentikan perbuatannya itu, bertaubat kepada Allah serta carilah pendapatan halal lagi baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN