fbpx
SEBAGAI adab dan kesopanan, sebaiknya tuan rumah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum berkunjung. - GAMBAR HIASAN

Ziarah raya: Beritahu dulu atau main terjah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU ziarah raya menjadi perdebatan hangat dalam kalangan orang ramai terutamanya di media sosial.

Ada yang berpendapat, kunjungan mengejut atau sering disebut sebagai terjah, perlu dielakkan kerana ia disifatkan sebagai tindakan tidak sopan dan tiada adab.

Antara hujah yang diberi, tuan rumah mungkin dalam keadaan tidak bersedia kerana kepenatan, kediaman bersepah atau kehabisan hidangan jika ziarah dilakukan secara tiba-tiba.

Namun, tidak kurang juga yang berpendapat sebaliknya dengan mengatakan tujuan beraya untuk berziarah, bukannya untuk makan ‘sedap-sedap’.

Sebilangan pula berpendapat, gaya berziarah adalah berbeza di antara masyarakat di kampung dengan di bandar.

Penduduk di kampung dikatakan lebih serasi dengan sesi terjah-menerjah yang mana tuan rumah lebih bersedia menerima tetamu pada bila-bila masa.

Jadi, situasi atau ziarah cara mana yang terbaik sebenarnya?

Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd. Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed berkata, sebagai adab dan kesopanan, sebaiknya tuan rumah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum berkunjung.

Terutamanya menurut beliau, jika ziarah raya itu dilakukan pada masa-masa yang tidak sesuai seperti sekitar waktu orang merebahkan badan untuk berehat.

Jelasnya, ia membantu memastikan kunjungan menjadi lebih selesa dan bermakna bagi kedua-dua pihak.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan kesulitan, contohnya tuan rumah tiada di rumah, sedang berehat, atau tidak bersedia menerima tetamu.

“Lebih baik jika kita sekurang-kurangnya menghantar mesej atau menelefon dahulu sebagai tanda hormat,” katanya ketika dihubungi .

Jelas beliau, aktiviti terjah itu tidak akan menjadi masalah jika sesebuah tempat itu mengamalkan ziarah raya sedemikian sesama mereka.

“Ada kebiasaan di sesetengah tempat yang mana kunjungan tanpa pemberitahuan dianggap perkara biasa dan diterima dengan baik, bahkan memang budaya biasa. Maka, ia tidak menjadi masalah.

“Ziarah bukan bererti perlunya makan dan minum di rumah yang diziarahi, bahkan kehadiran tetamu adalah rahmat buat seisi rumah,” ujarnya.

Sementara itu Pakar Motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah berkata, ketika masuk ke rumah yang diziarahi, ‘mata kena buta, mulut kena bisu’.

“(Jangan) tanya soalan pelik-pelik dan duduk di tempat yang dikhaskan. Jangan keluar-keluar (meninjau-ninjau).

“Takut tempat tu orang (tuan rumah) tak bersedia atau tak bersih ke ada najis jadi tuan rumah akan dapat malu,” terangnya.

Selain itu, katanya, jangan mengambil masa terlalu lama ketika berziarah.

“Ziarah rumah orang jangan lama sangat. Ucapkan syukur, terima kasih dan tahniah. Ada orang masa nak keluar siap baca doa ringkas dalam dua ke tiga minit untuk tuan rumah.

“Itu satu budaya dan etika yang sangat cantik untuk berziarah hari raya, insya-Allah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN