KOTA TINGGI – Seorang penduduk di Felda Air Tawar 1 di sini melahirkan rasa bimbang dengan keadaan hakisan tanah yang berlaku di kediaman generasi kedua miliknya yang hanya berjarak satu meter dari Sungai Tenom Pak Rumput.
Aisarina Salamon, 35, berkata, hakisan tanah semakin teruk sejak setahun lalu dan bertambah kritikal apabila berlaku banjir akibat hujan lebat baru-baru ini.
Katanya, hakisan bermula sedikit demi sedikit sejak tahun 2022 disebabkan fenomena kepala air yang membawa bersama arus deras.
Lebih membimbangkan apabila apabila tiang elektrik yang dipasang di tepi sungai berkenaan hanya menunggu masa untuk tumbang.
“Hakisan tebing semakin kritikal dan hanya kira-kira satu meter dari rumah kami selepas kejadian banjir baru-baru ini.
“Saya dan suami bina rumah pada 2019, namun tidak duduk di sini kerana bekerja di Pahang dan sewakan kepada orang. Namun penyewa juga ‘lari’ kerana bimbang melihat keadaan hakisan yang semakin teruk dan menghampiri kediaman.
“Kami habiskan modal RM180,000 untuk membina rumah generasi kedua ini. Kami juga merancang untuk tinggal di sini selepas dapat pertukaran tempat kerja. Bagaimanapun bila lihat keadaan rumah seperti ini, kami amat risau akan keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Air Tawar 1, Abdul Rashid A. Samad berkata, pihaknya telah membawa perkara itu kepada pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, keadaan tiang elektrik di perumahan itu juga amat membimbangkan, namun telah diajukan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk proses pemindahan.
Tambahnya, bagi hakisan sungai itu, terdapat langkah telah diambil pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sebelum ini dengan melakukan pelurusan sungai agar air tidak terus menghala ke tebing rumah generasi kedua di situ, sekali gus dapat mengurangkan hakisan.
“Bagaimanapun akibat banjir baru-baru ini, ia membuatkan keadaan hakisan sungai semakin teruk. Terdapat enam rumah di sepanjang sungai ini yang berisiko terdedah kepada hakisan sungai.
“Harapan saya agar pihak bertanggungjawab dapat melihat masalah ini memandangkan ia agak kritikal, tambahan pula dengan tiang elektrik yang terlalu hampir dengan sungai,” katanya.














