HUBUNGAN antara haiwan dan manusia telah wujud sejak beribu-ribu tahun lalu. Ia bukan sekadar menjadi teman, malah mampu memberi kesan positif kepada kesihatan mental, emosi dan sosial pemiliknya.
Pada era kini, haiwan peliharaan bukan sekadar benda hidup seperti kucing, anjing, arnab dan hamster, malah ia datang dalam bentuk robot yang wujud daripada kemajuan teknologi.
Menurut artikel penulisan kajian Ejen Paten India, Dr. Lakshmi Santhi di portal Scitech Patent Art, kemajuan terkini dalam bidang pengiraan, robotik, pembelajaran mesin, komunikasi dan teknologi pengecilan semakin merealisasikan visi futuristik peranti pintar yang penuh belas kasihan seperti robot.
“Perkembangan robotik kini banyak direalisasikan menerusi kecerdasan buatan (AI) yang merupakan kemajuan teknologi yang paling luas jangkauannya, dengan potensi untuk mengubah kehidupan manusia secara keseluruhan.
“Gabungan AI dan robotik telah menghasilkan pembangunan pelbagai peranti pintar bagi memenuhi keperluan manusia yang semakin meningkat,” tulisnya dalam artikel berkenaan.
Tambahnya, salah satu keperluan semakin meningkat adalah keterlibatan emosi bagi membantu mengatasi kesunyian yang sebelum ini dipenuhi oleh haiwan peliharaan.
Walaupun haiwan peliharaan diketahui dapat mengurangkan tekanan, namun kos dan usaha tinggi dalam penjagaannya telah mencetuskan minat terhadap haiwan peliharaan robotik yang boleh berinteraksi dengan manusia.
Namun, bagi menghubungkan emosi dengan peranti pintar merupakan satu cabaran. Ini kerana, ia memerlukan penyambungan fungsi manusia seperti fisiologi, fizikal, dan kognitif.
Oleh itu, konsep haiwan peliharaan robotik diperkenalkan iaitu robot haiwan peliharaan berperwatakan manusia yang boleh berinteraksi seperti manusia tetapi lebih mudah diurus.
“Haiwan peliharaan robotik adalah mesin buatan manusia yang menyerupai haiwan peliharaan biasa. Ciri dan tindakannya hampir sama dengan haiwan peliharaan sebenar seperti anjing, kucing dan burung.
“Walaupun robot haiwan peliharaan sedia ada boleh mengiau, berjalan, berlari dan bertindak balas terhadap sentuhan, namun masih terdapat cabaran untuk membangunkan robot menyerupai haiwan peliharaan sebenar,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan kemajuan dalam bidang robotik dan AI, haiwan peliharaan robot interaktif yang terkini adalah pengganti lebih baik dengan rupa dan tingkah laku menyerupai haiwan sebenar.
Pembangunan robot haiwan peliharaan telah bermula sejak era 90-an menerusi robot anjing laut terapeutik, PARO yang direka oleh Takanori Shibata daripada Institut Penyelidikan Sistem Pintar AIST Jepun.
Pembangunan ini bermula pada tahun 1993 dan pertama kali dipamerkan kepada umum sekitar 2001.

Ia merupakan robot interaktif canggih dengan lima sensor iaitu sentuhan, cahaya, pendengaran, suhu dan postur yang membolehkannya mengesan manusia dan persekitarannya.
Inovasi robot haiwan peliharaan juga semakin rancak dengan kehadiran Artificial Intelligence Robot (AIBO) iaitu siri haiwan peliharaan robot yang direka dan dikeluarkan oleh Sony.
“AIBO merupakan inovasi yang bermula pada tahun 1994 apabila Toshi T. Doi iaitu jurutera utama Sony mengajak pakar AI, Masahiro Fujita membangunkan robot dengan sensor canggih.
“Prototaip pertama diumumkan pada tahun 1998 dan model pengguna pertama diperkenalkan pada 1999. Generasi keenam AIBO dilengkapi dengan enjin AI berasaskan awan, komputer berkuasa tinggi dan sensor imej canggih, sekali gus menjadikannya lebih bijak serta realistik.
“AIBO juga mempunyai sensor inframerah dan kamera sebagai mata serta antena sebagai ekor,” kongsinya.
Selain kewujudan dua robot ini, terdapat juga beberapa inovasi robot peliharaan lain yang dibangunkan seperti SpotMini iaitu robot anjing bersaiz kecil.
Siri robot elektrik Boston Dynamics itu merupakan anjing robotik yang mampu melakukan pergerakan kepala, ekor dan mata yang realistik.
Robot itu adalah hasil pembangunan Ageless Innovation LLC serta CHiP daripada WowWee.
Terdapat juga Buddy iaitu robot emosi daripada Blue Frog Robotics. Robot ini mempunyai pelbagai ekspresi emosi berdasarkan interaksi dengan manusia.
iCat pula robot pintar buatan Philips Research yang boleh digunakan sebagai teman bermain untuk kanak-kanak.
Kongsi Santhi, perkembangan inovasi robot haiwan peliharaan kini telah menghasilkan beberapa paten menarik berkaitan haiwan peliharaan robotik termasuk WO2017166991A1.
Ia adalah paten robot dengan fungsi berkelip yang boleh meniru pergerakan kelopak mata manusia, kaedah interaksi tiga dimensi maya dan kulit luar fleksibel yang mampu meniru perasaan serta pergerakan manusia.
“Terdapat juga anjing robot panduan untuk orang buta dan robot haiwan peliharaan pemantau yang boleh bergerak ke lokasi tertentu untuk memantau penghuni.
“Kemajuan ini turut melahirkan beberapa syarikat pemula dalam bidang haiwan peliharaan robotik seperti Consequential Robotics menerusi robot MiRo yang menyerupai haiwan sebenar.
“Syarikat pemula ROOBO dengan Domgy iaitu robot haiwan peliharaan yang boleh mengenali ahli keluarga serta Groove X menerusi robot Lovot.
“Lavot merupakan robot teman yang menggunakan AI untuk berinteraksi dengan persekitarannya,” ujarnya.
Menurut Santhi, bidang haiwan peliharaan robotik dijangka akan mentakrifkan semula konsep ‘teman’ dan ‘kemanusiaan’.
Pada masa hadapan, ia mungkin menjadi rakan kepada manusia dalam penjagaan dan memberi kegembiraan kepada pasangan tanpa anak serta ibu bapa tunggal.
Pasaran ini berpotensi besar terutama di negara-negara dengan populasi warga emas tinggi dan pendapatan boleh guna yang besar.














