fbpx
PIHAK bomba mengeluarkan sebuah keluarga dari kediaman yang digenangi air sehingga paras bumbung di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn, Johor Bahru kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

‘Mangsa musibah, semoga darjat anda diangkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN kali ini menghadirkan dugaan besar buat penduduk di lima daerah di Johor. Setakat 8 pagi semalam jumlah mangsa terkesan banjir mencecah 10,000.

Mangsa-mang­sa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Pontian.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ada mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori buruk pada pukul 3.30 petang Khamis lalu.

Dalam kemas kini amaran itu, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru diramal dilanda hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga semalam.

Namun, benarlah alam ini aturannya misteri. Tiada siapa menyangka rentetan amaran tersebut dikeluarkan akan mengundang jumlah pertambahan mangsa banjir yang tinggi.

Lebih-lebih lagi Monsun Timur Laut yang bermula sejak 5 November 2024 bakal berakhir selepas Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 25 Mac ini.

Dugaan berat yang terpaksa ditempuhi mangsa-mangsa ketika menjalani ibadah puasa serta kurang dua minggu lagi untuk menyambut Aidilfitri. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Wartawan Kosmo! Raja Jaafar Ali yang mengikuti operasi pemindahan mangsa sempat merakamkan detik-detik pihak bomba mengeluarkan sebuah keluarga dari kediaman yang digenangi air sehingga paras bumbung di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn, Johor Bahru kelmarin.

Ketika tempoh bencana seperti ini nyawa adalah segala-galanya.

Akhbar ini sejak beberapa tahun lalu secara konsisten melaporkan amaran dikeluarkan MetMalaysia sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Pagi, tengah hari serta petang atau malamnya.

Pendekatan tersebut diambil selepas banjir buruk serta luar biasa melanda Shah Alam pada Disember 2021. ‘Niatnya’ adalah untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang perubahan cuaca yang tidak menentu mutakhir ini.

Dalam bencana di Shah Alam itu ramai pengguna jalan raya terperangkap selepas air naik mendadak selain terdapat penduduk tidak sempat keluar dari kediaman sehingga mayat mereka ditemui selepas banjir surut.

Penulis berharap tiada kejadian sedemikian dilaporkan dalam bencana di Johor ini. Orang ramai diminta terus berwaspada dalam apa jua keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Semoga musibah menimpa mangsa-mangsa di Johor mengangkat darjat anda semua. Terima kasih juga buat semua agensi serta pihak keselamatan yang bertungkus-lumus sejak hari pertama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN