BERMULA sekadar mengikut kawan melakukan aktiviti meredah denai hutan di kawasan kediaman sekitar Kemensah, Selangor, pemuda itu kemudian tertarik untuk mencuba aktiviti mendaki gunung.
Mula mendaki kali pertama pada tahun 2020 di Gunung Angsi, Ulu Bendul, Negeri Sembilan, dia kemudian meneruskan minat dengan menawan lebih banyak gunung mencabar.
Menurut pendaki dan malim gunung, Mohd. Akmal Azman, 32, dia dan isteri sering melakukan aktiviti mendaki gunung di sekitar Malaysia dan luar negara.
“Saya asalnya ikut kawan-kawan melalui denai di Kemensah, kemudian salah seorang rakan mengajak saya mendaki gunung.
“Sehingga hari ini, saya sudah mendaki banyak gunung termasuk menyelesaikan cabaran G7 iaitu menawan tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, antara gunung yang paling mencabar baginya adalah pendakian ke puncak Gunung Tahan.
Ekspedisi selama enam hari lima malam itu dilakukan mengikut laluan dari Merapoh ke puncak, sebelum turun melalui jalur Kuala Tahan, Pahang.
Berkongsi tentang ekspedisi itu, Mohd. Akmal memberitahu, perjalanannya bersama 10 orang ahli YOLO Outdoor bermula dengan mendaftar masuk dan mendengar taklimat di Pejabat Taman Negara Sungai Relau, Merapoh.
Kemudian, mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kuala Juram (titik permulaan) sebelum memulakan pendakian ke Kem Kor dengan melalui laluan agak landai dan merentasi beberapa sungai kecil.

Kem Kor menjadi lokasi pertama berehat dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan pada hari kedua menuju ke Bukit Botak.
Untuk ke sana, mereka terpaksa melalui kawasan hutan tebal yang dipenuhi akar dan berlumut.
Perjalanan di sini lebih banyak pendakian di samping perlu merentasi sungai. Namun apa yang menarik, suhu sepanjang pendakian semakin menurun hingga sampai ke puncak Bukit Botak.
“Pada malam kedua, kami bermalam di puncak Bukit Botak dengan suhu cukup dingin terutama pada waktu malam. Bagaimanapun, kami disajikan dengan pemandangan indah landskap hutan.
“Pada keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Tahan. Sepanjang jalan ini, kami ditemani pemandangan altitut tinggi yang sangat mengasyikkan,” ujarnya yang merupakan pengasas bersama kumpulan pendaki, YOLO Outdoor.
Kongsinya lagi, berada di puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia pada ketinggian 2,187 meter memberikan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan, sekali gus menghilangkan rasa lelah pendakian.
Selepas menikmati pemandangan di puncak gunung, perjalanan diteruskan ke Kem Gedong yang menjadi lokasi berehat dan bermalam.

“Kami bermalam di sana dalam suasana sejuk sambil ditemani dengan nuansa hutan serta bunyi air terjun yang mendamaikan,” ujarnya.
Hari keempat, semua peserta memulakan perjalanan turun menuju ke Kem Teku, sebelum ke Kem Khor sejauh kira-kira 1,900 meter.
“Perjalanan turun ini bukan sahaja mencabar, malah kami terpaksa menempuh kumpulan lebah dan saya menjadi salah seorang yang mendapat sengatan.
“Sengatan itu membuatkan saya mendapat alahan. Alhamdulillah, ada salah seorang rakan kami mempunyai ubat untuk alahan itu,” kongsinya.
Di Kem Khor, semua peserta berehat dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan pada hari berikutnya ke Kem Putih melalui lereng bukit, selain perlu melintasi sungai besar. Pada hari seterusnya, perjalanan dari Kem Putih diteruskan menuju ke Lata Bekoh.
“Di sana, kami menaiki bot ke destinasi akhir iaitu Kuala Tahan untuk mendaftar keluar, sebelum kembali ke Merapoh menaiki van,” ujarnya.
Katanya, ekspedisi mendaki Gunung Tahan merupakan antara yang mencabar dan memerlukan persediaan rapi secara fizikal serta mental.
“Bagi yang ingin cuba mendaki Gunung Tahan, anda perlu mempersiapkan diri dengan kelengkapan bersesuaian dan ikut peraturan ditetapkan,” ujarnya.














