Saudara Pengarang,
Baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendedahkan seramai 12,670 penunggang motosikal di negeri tersebut tidak mempunyai lesen memandu.
Ia didedahkan oleh Pengarahnya, Zulkifly Ismail yang menyatakan, pihaknya mengesan kesalahan itu bagi tempoh Januari hingga Disember 2024.
Itu baru jumlah yang direkodkan di Pulau Pinang, kalau seluruh negara mungkin lebih banyak lagi anak muda yang menunggang motosikal tanpa lesen bebas berada di jalan
raya tanpa rasa bersalah.
Tindakan mereka ini amat amat berbahaya kerana mempunyai lesen membuktikan seseorang individu lulus ujian memandu dan pengetahuan diperlukan untuk memandu dengan selamat.
Sebenarnya proses belajar memandu memastikan seseorang individu memahami peraturan jalan raya, tanda isyarat lalu lintas dan cara mengendalikan kenderaan dengan betul.
Tanpa mempunyai lesen, golongan muda mungkin tidak memiliki pengetahuan mencukupi untuk memandu atau menunggang dengan selamat.
Terbukti statistik menunjukkan pemandu muda antara paling berisiko terlibat kemalangan jalan raya lebih-lebih lagi mereka yang tidak mempunyai lesen memandu.
Ini disebabkan tanpa latihan betul dan memiliki lesen, mereka mungkin tidak menyedari bahaya berkaitan pemanduan yang merisikokan kepada kemalangan, bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya lain.
Memandu secara melulu dan terburu-buru selain menunjukkan kehebatan serta menguji kemampuan jentera dipandu turut mengundang kecelakaan jalan raya.
Sekelip mata hilang kawalan, impaknya membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.
Selain itu, tahap kompetensi pemanduan juga penting bagi memastikan seseorang mencapai tahap pemanduan yang diperlukan.
Oleh itu, pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan mesti lebih peka, menitikberatkan keselamatan serta sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan selamat.
Paling utama, jangan memandu tanpa lesen yang sah.
Yang resah
Butterworth, Pulau Pinang














