SEBELUM ini, mungkin ramai antara kita tidak begitu mengenali siapakah gerangan pemilik nama Natasha Roslan.
Namun, setelah menjuarai trofi Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025 di Hong Kong baru-baru ini, nama Natasha semakin meniti di bibir peminat sukan tanah air.
Malah, dia yang kini berusia 29 tahun juga menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia yang menjulang trofi tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepadanya menerusi media sosial beliau.
“Hebat! Memang luar biasa!” tulis Perdana Menteri.
Natasha berjaya menumbangkan peserta Jerman, Birgit Noreiks 217-166, 226-169 pada aksi final setelah wanita dari Subang Jaya, Selangor itu menewaskan pemain Singapura, Daphne Tan dengan keputusan 244-196, 213-216, 187-181 pada separuh akhir.
Kejayaan Natasha sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita di kejohanan berkenaan sejak dipertandingkan pada tahun 1972.
Lebih membanggakan, Natasha kini mencatat pencapaian luar biasa apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang melengkapkan kejohanan berganda berprestij, Piala Dunia dan Kejohanan Dunia selepas pernah meraih gelaran juara perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.
Selain itu, dia juga telah membantu pasukan wanita Malaysia meraih pingat perak dalam acara berpasukan di IBF 2025.
Mengulas pencapaiannya itu, Natasha berkata, ia sesuatu yang luar biasa dan membanggakan.
Menurutnya, menjadi wanita pertama memenangi Piala Dunia dan juga pemain pertama rangkul dua gelaran individu dunia mencetus perasaan sukar digambarkan.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya apabila berjaya melakar sejarah dan saya merasakannya seperti dalam mimpi.
“Tetapi, saya memang bekerja keras setiap hari untuk menang, apabila menang dan saya melihat kembali kerja keras saya selama ini dalam sukan boling telah menuai hasil, sudah semestinya saya sangat gembira,” katanya.
Kecemerlangannya juga terbukti apabila sebelum ini dia telah dinobatkan sebagai Olahragawati Malaysia 2023.
Natasha menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam sukan boling sejak usia muda.
Mengulas penglibatannya dalam sukan boling, kata Natasha, ketika kecil dia sering mengikuti ibunya, Anita Mohamed Ali ke gelanggang boling.

Menurutnya, ibunya merupakan seorang guru dan dalam masa sama merangkap cikgu teknikal boling.
“Emak saya sering membawa pelajar-pelajarnya untuk menyertai kejohanan boling sama ada Majlis Sukan-Sukan Selangor (MSSS), Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Kali pertama saya mendengar jatuhan pin boling saya telah tertarik dan dalam masa yang sama saya suka melihat aksi pemain semasa melakukan ‘strike’.
“Jadi saya memberitahu ibu saya yang saya nak cuba sukan boling ini dan keluarga saya amat menyokong minat saya dan mereka terus membelikan saya sebiji bola boling,” jelasnya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Tambahnya, pada ketika itu boleh dikatakan setiap hari dia bermain boling kerana minatnya untuk sukan boling pada ketika itu amat tinggi.
Kejohanan pertama boling yang disertai Natasha adalah untuk peringkat MSSD dan pada ketika itu usianya baru 11 tahun.
Kemudian dia mewakili Selangor untuk kejohanan MSSM.
Sepanjang terlibat dalam sukan boling, Natasha telah meraih pelbagai pencapaian yang cemerlang buat dirinya dan juga untuk negara. Dia pertama kali menjadi juara dunia adalah menerusi acara berpasukan di Amerika Syarikat pada tahun 2017.
“Saya kemudian mendapat gelaran juara dunia kedua iaitu bagi acara individu di kejohanan dunia di Kuwait pada tahun 2023 diikuti gelaran dunia seterusnya iaitu juara Piala Dunia IBF individu bagi kali pertama tahun ini.
“Selain itu saya juga memenangi dua emas di Sukan SEA, satu emas di Asian Championship dan satu perak di Sukan Asia,” ujarnya yang juga pernah menjadi juara remaja dunia pada tahun 2016.
Untuk meraih gelaran dunia bukanlah satu perkara yang mudah dan Natasha sendiri berdepan cabaran yang tersendiri.
Ketika dia beraksi di Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 yang berlangsung di Salmiya, Kuwait, Natasha sebenarnya alami kesakitan pada ibu jari tangan kanan.
Namun, ia langsung tidak menghalang Natasha untuk bergelar juara.
“Cabaran yang saya hadapi adalah masa saya dapat juara dunia individu pertama.
“Pada peringkat separuh akhir ibu jari saya koyak berdarah dan jurulatih suruh saya berhenti, tetapi saya teruskan dan menang menentang pemain dari Korea ketika itu dan saya dapat ke final dalam keadaan ibu jari berdarah.
“Saya gementar dan pada masa sama merasai kesakitan. Namun, saya perlu lupakan rasa sakit ini kerana saya sudah berada di final, jadi saya perlu berjuang dan berikan segala-galanya sehingga ke penamat,” imbaunya.
Natasha meraih gelaran tersebut selepas menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane 2-1 menerusi keputusan 259-194, 162-238, 185-165 pada final individu wanita di Kelab Sukan Boling Kuwait pada ketika itu.

Sementara itu, dalam sukan boling, Natasha menjadikan Datuk Shalin Zulkifli sebagai idolanya. Baginya, Shalin merupakan ikon dalam sukan boling dan menjadi inspirasi kepadanya.
“Saya membesar ketika Shalin menguasai arena boling dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta nama dalam sukan boling. Malah, Shalin juga pernah menjadi jurulatih saya untuk Sukan Malaysia (Sukma).
“Masa dia menjadi jurulatih, saya pernah memberitahunya satu hari kelak saya boleh berlatih dan bermain boling serta pergi kejohanan boling dan menang bersama dengannya,” jelasnya.
Tambah Natasha, pada 2015 dia dapat memasuki pasukan boling elit negara dan menjadi rakan sepasukan Shalin. Natasha gembira kerana dia berjaya menggapai impiannya itu.
Terdahulu, meraih Olahragawati Malaysia 2023 dianggap Natasha bagaikan satu mimpi baginya apabila kerja kerasnya dalam sukan boling mendapat penghargaan.
Natasha juga menjelaskan, kejayaan yang diraihnya dalam sukan boling adalah kerana kedua-dua orang tuanya yang tidak jemu memberi sokongan kepadanya.
“Ayah saya memang menyokong saya, malah dia tidak lokek untuk membelikan saya barangan keperluan dalam sukan boling dan sebagainya.
“Ibu saya sering menghantar saya ke tempat latihan dan dia sentiasa di belakang saya pada setiap kejohanan,” katanya.
Mengulas tentang sasarannya dalam sukan boling, Natasha dengan ringkas menjawab misinya kini mahu mempertahankan status juara dunia dan dalam masa yang sama ingin memenangi lebih banyak kejuaraan untuk negara.
Selain itu, dia juga menitipkan pesan kepada atlet-atlet boling pelapis supaya sentiasa bekerja keras untuk berjaya.
“Kerja keras adalah kuncinya dan kita jangan berlatih mengikut ‘mood’ kita sahaja dan jika tiada mood pun kita kena berlatih juga.
“Untuk menjadi juara dunia kita kena konsisten dan berdisiplin. Jangan sesekali mudah berputus asa,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang dirinya selain dalam sukan, Natasha berkata, dia juga ada menjalankan perniagaan menjual biskut.
“Tetapi perniagaan ini saya hanya jalankan ketika bulan puasa.
“Saya sendiri yang akan hasilkan adunan dan membakarnya berjam-jam bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Menghasilkan biskut ini adalah hobi yang saya suka dan saya turut jadikannya sebagai satu cabang perniagaan,” terangnya.















