KEMAMAN – Beberapa pengamal undang-undang menegaskan mereka kini menunggu hasil siasatan polis sebelum meneruskan tindakan saman sivil ke atas individu yang memukul orang kelainan upaya (OKU) di Chukai baru-baru ini.
Peguam Khairul Amin Abdullah berkata, keluarga Ahmad Nor Al Fazian Jusoh, 47, juga mengalu-alukan bantuan beberapa pihak yang mahu membantu mereka.
“Kita serius mengenai hal itu. Setakat ini, perbincangan terperinci (memfailkan saman sivil) masih belum bermula kerana mahu menunggu hasil siasatan polis yang sedang berlangsung.
“Kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membantu (mengemukakan saman sivil),” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, beberapa pihak seperti Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia dan pengamal undang-undang terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan kesediaan membantu keluarga itu.
Tambahnya, saman sivil perlu diambil kerana perbuatan kejam ke atas Ahmad Nor Al Fazian atau Paijang tidak berperikemanusaain dan mengaibkan mangsa serta keluarganya.
“Saya melawat Paijang di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan keadaannya semakin baik dan menunggu masa untuk pulang,” katanya.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan Paijang dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.














