fbpx

Tiada petunjuk, operasi mencari dua nelayan dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afzanizar (dua dari kanan) menunjukkan kawasan pencarian dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Selat Melaka di sini sejak Rabu lalu.

MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Selat Melaka di sini sejak Rabu lalu dihentikan pada pukul 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas pasukan SAR tidak menemui sebarang petunjuk walaupun pencarian sudah memasuki hari ketiga.

“Pada pukul 6 petang tadi kita telah menghentikan operasi SAR kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu kes.

“Isteri mangsa juga telah dimaklumkan perkara ini dan mereka berterima kasih kepada pasukan SAR yang telah bertungkus lumus selama tiga hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun operasi itu akan disambungkan semula sekiranya petunjuk baharu ditemui.

“Meskipun operasi SAR telah dihentikan, Agensi Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan rondaan Op Benteng sedia menyalurkan maklumat.

“Sekiranya terdapat petunjuk baharu, operasi SAR ini akan disambungkan semula,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua nelayan Ahmad Norizan Mohamad, 38, dan rakan Irwan Radjab, 47, hilang selepas keluar bersama-sama menangkap ikan di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan, Rabu lalu.

Pada hari kedua SAR, pencarian kedua-dua mangsa diperluaskan meliputi 7.9 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu ke Pulau Undan.

Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai berada di sekitar perairan Pulau Undan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan dua rakan itu mungkin dihanyutkan disebabkan masalah teknikal seperti kehabisan minyak dan sebagainya.

Seramai enam pegawai dan 50 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terlibat dalam operasi SAR berkenaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI