BERDASARKAN sejarah, MG terkenal dengan kereta sport ringan sepanjang 100 tahun kewujudan mereka.
Ditubuhkan di England pada tahun 1924, MG lebih daripada sekadar jenama dan telah membawa kecemerlangan automotif British di seluruh dunia dengan meninggalkan kesan dalam sejarah kereta.
Selepas diambil alih SAIC Motor yang juga pengeluar kereta terbesar di China pada tahun 2007, fokus MG telah beralih kepada model hatchback, sedan dan kereta utiliti sukan (SUV).
Peralihan tersebut perlu untuk memastikan MG menjana keuntungan, di mana sebahagian hasilnya dilaburkan pada penghasilan kereta sport dengan pengeluaran yang rendah.
Terbaharu pada 4 Disember lalu, SAIC Motor Malaysia sebagai pengedar jenama MG telah melancarkan kereta sport ikonik, MG Cyberster untuk pasaran Malaysia.
MG Cyberster merupakan roadster elektrik pertama jenama MG dengan dua tempat duduk dijual pada harga RM319,900 (atas jalan raya tanpa insurans).
Kereta dalam kelas roadster itu merupakan penawaran baharu MG menerusi kenderaan elektrik (EV). Roadster adalah merujuk kepada kenderaan berbumbung terbuka yang memiliki dua tempat duduk.
MG Cyberster dikatakan sebagai penerus model-model roadster klasik MG seperti MGA dan MGB.

MG Cyberster hadir dalam satu varian menawarkan kuasa 503PS (375kW) dengan tork maksimum 725Nm melalui pacuan semua roda (4WD).
Dilengkapi bateri 77kWh, MG Cyberster menawarkan jarak pemanduan sehingga 446km mengikut WLTP dan pengecasan pantas dari 10 hingga 80 peratus hanya dalam 38 minit.
Sementara dengan sistem pengecas AC 7kW memerlukan masa 10.5 jam untuk memenuhkan bateri dari 10 hingga 100 peratus.
Kenderaan itu mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 3.2 saat.
Dari segi reka bentuk, Cyberster dikatakan mengambil inspirasi daripada model klasik MG, MGB dengan menampilkan muncung seperti ikan jerung.
Cyberster mempunyai rekaan eletrifikasi elegan dengan siluet rendah dan bumbung soft-top hitam yang boleh dibuka.
Daya tarikan futuristik melalui pintu gunting elektrik (Automatic Scissor Doors) sesuai sebagai sebuah kereta sport.
Ia diperkemas dengan perincian roda aloi tujuh jejari ‘Jetsream’ bersaiz 20 inci, brek kaliper merah dan lampu depan LED ‘storm eye’ yang memberikan pencahayaan berkuasa.
Bahagian dalam pula, menampilkan elemen sporty mewah dengan sistem infotainment canggih dan audio premium Bose.

Selain itu, MG Cyberster juga dilengkapi dengan ciri keselamatan komprehensif MG Pilot untuk pengalaman pemanduan yang selamat dan memuaskan.
MG Cyberster ditawarkan dalam empat warna menarik iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow dan English White.
Dynamic Red dan Camden Grey hadir dengan warna ruang dalaman berskema hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi warna kelabu.
EV roadster ini menerima tempat duduk sport dengan enam larasan kuasa, fungsi memori dan kulit Nappa serta upholsteri Alcantara, roda stereng leper di bawah serta pedal untuk pemilihan mod pemanduan dan brek regeneratif.
Daya tarikan utamanya ialah bahagian skrin yang terdiri daripada paparan instrumen digital 10.25 inci yang disambungkan dengan dua skrin sesentuh tujuh inci yang mengawal infotainment dan fungsi kenderaan.














