BAND apa ini? Tidak pernah dengar pun! Saya lahir tahun 1980-an tapi tidak pernah dengar pasal band ini. Ya, pendapat-pendapat anda ini semua tiada siapa yang tanya. Ya! Ya! Anda tidak kenal A.C.A.B.
Sudah jadi ‘bergaduh’ pula di ruangan komen Instagram Kosmo! Online. Memang tidak relaks. Santai-santai sajalah kawan.
Kisah yang saya ingin ceritakan pun anda tidak tanya, jadi terpulang boleh terus dilangkau. Hidup ini semudah itu. Tidak perlu dibebankan kepala dengan persoalan berat-berat.
Nescaya hidup lebih tenang. Tekanan darah pun normal, terhindari penyakit ‘terlebih berfikir’.
Cumanya dalam setiap perkara yang berlaku pasti akan ada sisi baik dan buruk. Pilihlah kemaslahatan, elak enigma atau kekaburan dan hindarilah kemudaratan. Ia pilihan yang terbaik.
Pada Sabtu lalu, berlangsungnya A.C.A.B 30th Anniversary Final Concert di Zepp Kuala Lumpur. Konsert sold out, penuh sesak dengan kira-kira 2,500 penonton. Majoriti yang hadir berusia lingkungan umur penulis, rata-rata sudah 35 tahun dan ke atas.
Konsert kali ini adalah yang terakhir. Pengakhiran yang gemilang serta dalam ‘debaran’ selepas pemain dram utamanya, Zul rebah tiba-tiba akibat serangan jantung. Selepas Sabtu lalu, berakhirlah perjalanan 30 tahun band skinhead ini di Malaysia.
Menurut kemas kini di Instagram @acabmalaysia jika ‘bermain’ pun mereka mahu beraksi di pentas antarabangsa terutama di Eropah.
Penulis pendengar muzik ‘universal’ bukanlah budak skinhead. Mula mengenali A.C.A.B sekitar tahun 2000-an ketika ledakan muzik underground. Diperkenalkan seorang rakan, Aliffudin Husain.
Beliau tegar Oi! Kalau bandnya, Peanuthead ke jamming mesti kadang-kadang membawakan lagu A.C.A.B. Aliffudin ini bermain dram. Ironinya, Aliffudin meninggal dunia 25 Februari lalu pada usia masih belum cukup 38 tahun. Puncanya adalah serangan jantung.
Insiden jantung Zul terhenti semasa rancak membawakan lagu Unite & Fight momen meresahkan.
Di Malaysia, statistik menunjukkan peningkatan daripada 9,300 kes pada 2010 kepada 20,300 kes pada 2022 kematian akibat penyakit jantung iskemik termasuk dalam kalangan orang muda. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala selain memantau tahap diabetes dan kolesterol tinggi.
Melalui lirik serta lagu band ini kami remaja 2000-an mengenali erti semangat berjuang untuk melalui hari-hari sukar. Senang kata zaman memberontak.
Setiap kali mendengar bait lirik ini, we are the youth, we are the truth, we have survived the darkest time of lives. Bergenang air mata jantan terkenang persahabatan, perjalanan dan kenangan lalu terpahat dalam lagu A.C.A.B.
Sama-sama kita doakan roh mereka yang terlebih dahulu meninggalkan kita. Al-Fatihah.














