KUANTAN – Terperdaya dengan keuntungan sebanyak 80 peratus yang ditawarkan scammer (penipu) menyebabkan seorang pekebun kerugian RM120,000 selepas terjerat dalam skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 6 November lalu selepas mangsa berusia 51 tahun berminat menyertai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan di Facebook.
“Suspek menjanjikan keuntungan sebanyak 80 peratus manakala baki 20 peratus milik syarikat. Mangsa membuat tiga kali transaksi ke dalam tiga akaun bank berjumlah RM120,000,” katanya hari ini.
Menurut Yahaya, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanannya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melabur bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE












