PELUANG mengharumkan nama Malaysia di persada dunia sememangnya sesuatu yang berharga dan memberi kenangan manis buat setiap individu.
Baru-baru ini, seramai 18 orang pelajar dari Sekolah Internasional Cempaka Bukit Damansara dan Sekolah Cempaka Cheras, Kuala Lumpur telah mengharumkan nama Malaysia, apabila merangkul dua anugerah emas dalam sebuah pertandingan koir bertaraf dunia.
Pertandingan yang dikenali sebagai Sing for Gold – The World Choral Cup itu telah berlangsung di Calella dan Barcelona, Sepanyol pada 24 hingga 28 Oktober lalu dengan disertai oleh 51 kumpulan koir hebat dari 33 negara.
Dua emas yang dirangkul oleh pasukan dari Malaysia itu adalah bagi kategori Koir Kanak-Kanak serta Koir Pop, Jazz dan Gospel.
Pertandingan tersebut merupakan anjuran INTERKULTUR yang merupakan penganjur terbesar dunia bagi festival dan pertandingan koir antarabangsa.
Pelajar-pelajar berusia antara lapan hingga 14 tahun yang menyertai pertandingan itu merupakan kumpulan paling muda dari Malaysia bertanding mewakili Asia Tenggara.
Dalam kategori pertandingan Koir Kanak-Kanak, peserta Vocal Pizzest Malaysia menyanyikan lagu rakyat Malaysia dan rangkaian lagu-lagu medley daripada Muzikal Cempaka Performing Arts Company (CPAC), Alice’s Wonderland ciptaan komposer tempatan, Nick Choo, yang juga pemenang Anugerah Seni Boh Cameronian.
Malah, lagu-lagu rakyat itu telah dipersembahkan dengan baik, bersama alunan muzik daripada alat muzik tradisi Malaysia seperti kompang.
Sementara itu, pemimpin koir pasukan, Melinda Sik telah memainkan peranan yang sangat baik dalam memberi arahan di atas pentas.

Suara kanak-kanak yang halus dan merdu bergema di Konservatori Muzik Liceu Barcelona ketika menyanyikan lagu klasik Malaysia iaitu Wau Bulan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Sayang Kinabalu dan Chan Ma Li Chan, disertai dengan persembahan koreografi tarian Melayu yang memukau penonton.
Dalam kategori, Pop, Jazz dan Gospel pula, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan seleksi lagu daripada satu lagi muzikal CPAC iaitu Spooks ciptaan Nick Choo.
Bagi persembahan ini, mereka menukar gaya yang berbeza, sesuai dengan genre kategori tersebut.
Untuk makluman, pasukan koir negara lain yang turut mengambil bahagian adalah Iran, Britain, Amerika Syarikat, Mexico, Korea, Zimbabwe,
Peru dan negara-negara Eropah seperti Finland, Sepanyol, Itali, Jerman, Sweden, Bulgaria, Norway serta Denmark.
Ketua Pengarah CPAC, Andrew Chan mengucapkan tahniah kepada para pelajar memandangkan, itu adalah pertama kali pasukan Vocal Pizzest bertanding dalam pertandingan antarabangsa.
Ujarnya, banyak perkara dipelajari oleh para peserta sepanjang penyertaan di pertandingan itu.
“Biarpun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang jauh iaitu selama lebih 20 jam, dengan keadaan cuaca hujan lebat di Barcelona, para pelajar bertekad untuk memberikan yang terbaik.
“Mereka bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat daripada ibu bapa dan guru-guru sehingga dapat bersaing di pentas dunia.
“Pengalaman ini adalah sesuatu yang tidak ternilai buat para peserta. Mereka berharap agar lebih banyak peluang seperti ini diberikan pada masa hadapan,” katanya.
Salah seorang peserta koir, Mawar Mikaila Omar Mustapha berkata, kejayaan itu adalah hadiah buat segala usaha gigih dan pengorbanan yang dilakukan mereka selama ini.
“Biarpun berdepan saingan sengit daripada pasukan yang bertanding, kami menganggap kejayaan ini sebagai hadiah serta diharap dapat menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.














