PETALING JAYA – Malang menimpa seorang wanita apabila kehilangan dua suami dalam tempoh 17 bulan selepas lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya itu pergi buat selama-lamanya akibat kanser dan penyakit tiga serangkai.
Siti Annizah Rosidi, 29, berkata, suami pertama, Allahyarham Ahmad Danial Osman, 34, yang dikahwininya pada 2019 meninggal dunia pada Jun tahun lalu akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Katanya, mereka hanya sempat hidup bersama selama empat tahun.
“Dia meninggal dunia ketika saya berada di Pulau Pinang. Saya tidak sempat berada di sisinya yang ketika itu berada di Melaka kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Tidak lama kemudian saya bernikah pula dengan suami kedua, Azhar Seman, 33, tetapi dia juga meninggal dunia 22 November lalu akibat kanser. Kami sempat bersama lima bulan sahaja,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Siti Annizah, arwah Azhar mula menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kesihatan pada awal bulan lalu apabila sukar membuang air besar walaupun sudah mencuba pelbagai cara.
Tambahnya, suami selalu mengadu perutnya kerap sakit dan hanya tidur antara satu hingga dua jam sehari.
“Keadaan tidak berubah walaupun sudah mendapatkan rawatan. Dia kemudian dimasukkan ke hospital pada 31 Oktober lalu dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser tahap empat dan tidak boleh menjalani kemoterapi,” katanya.
Ujar Siti Annizah, dia reda dengan ketentuan tersebut dan yakin kedua-dua suaminya menunggunya di syurga.
Katanya, walaupun kedua-dua suaminya sudah tiada, dia masih berhubung dengan keluarga mertuanya.















