SAAT nama kucing peliharaannya itu diumumkan sebagai juara bagi Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang berlangsung di Oslo, Norway awal bulan ini, pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib, 46, dan Rooaida Mohd. Darus, 42, berasa cukup gembira.
Ujar Rooaida, biarpun tidak begitu meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang, namun dia mengakui jauh di sudut hati, pastinya dia mahukan kucing betina miliknya yang dinamakan Baby itu untuk muncul juara dalam sebuah pertandingan kucing peringkat antarabangsa anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife).
“Adatlah apabila memasuki satu pertandingan, sudah tentu kita mengharapkan untuk menang, bukan?
“Saya tidaklah meletakkan harapan begitu tinggi untuk ‘si bulus’ peliharaan saya, memandangkan saya melihat ada beberapa ekor kucing lain yang memang comel dan memberikan saingan sengit.
“Namun, ternyata rezeki berpihak kepada Baby dan saya cukup teruja,” kongsi Rooaida kepada K2 ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.
Siapa sangka, kucing betina berbulu lebat yang dibela Rooaida dan Shaharudin sejak sembilan tahun lalu itu bertuah apabila muncul juara di peringkat antarabangsa dan menewaskan lebih seribu kucing lain, memandangkan itu merupakan penyertaan pertama Baby dalam pertandingan peringkat global.
“Namun, jika di peringkat dalam negara, Baby dan juga seekor lagi kucing jantan milik kami bernama Miko sudah menang lebih 100 kali, memandangkan kami sememangnya suka menyertai pertandingan kucing yang diadakan di dalam negara,” jelas Roooaida.
Baby dan Miko merupakan antara sembilan ekor kucing dari Malaysia yang dipertandingkan dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa itu.
Acara tersebut ialah salah satu acara kucing terbesar di dunia yang mana lebih 1,500 ekor kucing dipertandingkan dalam beberapa kategori.
Baby muncul juara bagi kategori kucing rumah atau domestic cats.
Mengimbau detik pertemuannya dengan Baby, Rooaida memberitahu, kucing tersebut bukanlah kucing jalanan seperti yang disangka ramai, sebaliknya Baby merupakan kucing yang diambil Rooaida daripada seorang rakannya untuk dipelihara.
Rooaida mengakui jatuh hati dengan kecomelan Baby yang dipeliharanya sejak haiwan itu berusia enam bulan.
Baby sememangnya seekor kucing rumah berbulu panjang yang dijaga dengan cukup baik oleh Rooaida dan Shaharudin.
Bahkan, Baby juga didandan sendiri oleh Shaharudin yang mengambil kursus dandanan kucing bagi memudahkannya untuk mendandan semua haiwan miliknya.
“Kami mempunyai 40 ekor kucing di rumah termasuk Baby dan Miko. Oleh sebab itu suami memutuskan untuk belajar teknik grooming haiwan supaya kami boleh groom kesemua kucing peliharaan kami sendiri,” kata Rooaida.
Kesemua 40 ekor kucing milik pasangan itu juga hanya makan kibble Super Premium dan Premium sahaja, bersama minyak ikan salmon dan minyak kelapa dara bagi memastikan ia kekal sihat dengan bulu yang cantik.
Berkongsi penilaian juri semasa pertandingan disertainya itu, Rooaida memberitahu juri menilai beberapa aspek seperti bentuk muka haiwan, kelebatan bulu dan juga sifat manjanya.

“Semasa pertandingan, juri profesional menyifatkan bulu pada badan Baby cukup cantik dan penuh.
“Wajah Baby juga bulat dan cantik, manakala penilaian daripada aspek kemanjaannya pula menerusi cara Baby mempersembahkan dirinya kepada juri serta bagaimana ia berinteraksi dengan juri,” katanya.
Ujar Rooaida, biarpun merupakan kucing rumah, sifat manja dan kejinakan Baby juga sudah dipupuk sejak kecil apabila pasangan suami isteri itu membiasakan kucing peliharaan mereka menyertai pertandingan dan tidak takut apabila berada di khalayak ramai.
Bukan hanya juri pertandingan kucing, namun rata-rata yang melihat Baby pastinya akan terpukau melihat sifatnya yang tenang dan manja.
Ujar Rooaida, sifat tenang Baby juga menjadikan ia begitu mudah menambat hati juri, bahkan sifat tersebut sudah ada pada Baby sejak kecil lagi.
“Baby kucing yang sangat baik, dan saya sering menggelarnya ‘wanita Melayu terakhir’ kerana ia sangat sopan dan tidak banyak kerenah.
“Jika di rumah, Baby cukup sopan dan lazimnya akan melepak di atas meja makan memandangkan itu merupakan ‘port’ miliknya sejak dulu lagi.
“Baby juga jarang menimbulkan masalah dan sememangnya mempunyai karakter tenang, menjadikan ramai yang menyenanginya,” ujar Rooaida yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.
Tambah Shaharudin pula, Baby juga jarang mengiau atau mengeluarkan bunyi kecuali apabila lapar atau ketika dimandikan.
“Kita barangkali hanya boleh mendengar suaranya apabila ia lapar dan mahukan wet food dan juga apabila ia dimandikan,” kongsinya.
Rooaida berkata, sebagai ‘ibu’ kepada 40 ekor kucing, dia mengakui bahawa peminat kucing lazimnya membawa haiwan kesayangan menyertai pertandingan, bukanlah bermatlamatkan hadiah kemenangan berupa wang tunai dan sebagainya.
Sebaliknya, ia adalah sebagai memenuhi hobi dan mendapatkan satu kepuasan apabila si bulus itu menang.
Oleh sebab itu, dia sama sekali tidak kisah terpaksa berbelanja besar dan keluarkan wang sendiri bagi menyertai pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa, memandangkan ia merupakan satu kepuasan baginya.
Rooaida juga mengakui sepanjang memelihara Baby, kemenangannya kali ini merupakan memori paling indah yang dicipta bersama kucing itu.
Ditanya perancangan seterusnya, Rooaida berkata buat masa ini Baby akan ‘direhatkan’ seketika daripada menyertai sebarang pertandingan sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Buat masa ini, saya mungkin akan merehatkan Baby seketika daripada menyertai sebarang pertandingan.
“Namun, sekiranya ada rezeki, keadaan kewangan dan kesihatan yang mengizinkan, Baby akan dibawa untuk menyertai pertandingan sama tahun hadapan yang akan diadakan di Romania,” katanya.














