PENANGKAPAN enam rakyat Malaysia di Narathiwat, Thailand baru-baru ini ekoran penemuan 6,000 pil kuda di dalam bilik hotel telah menyebabkan isu sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Kelantan kembali hangat diperkatakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, laluan tikus kerap digunakan sindiket untuk membawa masuk bekalan bagi mengedar dadah di dalam negara.
Biarpun kawalan di sekitar sempadan negara sentiasa diperketat dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Kastam Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Am, namun laluan tikus yang menjadi jalan penyeludup di sekitar pintu sempadan negara didapati kerap berubah-ubah.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu penyeludupan di kawasan sempadan itu, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Pakar Undang-Undang Maritim Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli.
Ekoran penangkapan enam rakyat Malaysia di Narathiwat, Thailand baru-baru ini, isu sempadan di Sungai Golok, Kelantan kembali diperkatakan. Secara ringkasnya, boleh Dr. ulas tentang sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu seperti jarak, bentuk muka bumi dan sejarahnya?
DR. MOHD. HAZMI: Pada asalnya, tiada sempadan yang wujud kerana Narathiwat (nama asalnya Menara) adalah sebahagian dari Tanah Melayu di bawah kerajaan Pattani.
Pattani dahulu adalah sebuah kerajaan Melayu yang menguasai Pattani, Yala, Narathiwat, Kelantan, Reman (di Hulu Perak) sehingga Terengganu.
Wilayah Melayu ini hanya dipecahkan apabila Pattani runtuh dan Siam mula melebarkan kuasa di Tanah Melayu.
Pada tahun 1909, Siam dan British melukis garis sempadan sepanjang 595 kilometer (km) dari Perlis sehingga Kelantan dan memisahkan negeri-negeri Melayu di Setul,
Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla untuk menjadi sebahagian dari Thailand pada hari ini.
Malaysia kehilangan hampir dua juta penduduk Melayu akibat pemisahan ini. Bentuk muka bumi di sepanjang sempadan ini adalah berbukit bukau, hutan tebal dan berliku-liku mengikut aliran sungai bermula dari Bukit Putih di Perlis sehingga ke Kuala Sungai Golok.
Kita dapati ramai rakyat Malaysia-Thailand yang menggunakan laluan sungai untuk melintasi garisan sempadan ini secara haram. Adakah penguatkuasaan yang lemah telah menyebabkan fenomena ini berlarutan sejak sekian lama?
Ini berlaku kerana sebahagian dari mereka yang menyeberang memiliki saudara-mara terpisah kerana kewujudan sempadan itu.
Jadi, mereka mungkin terbiasa menyeberangi secara haram kerana menganggap kawasan-kawasan yang kini menjadi dua negara berbeza adalah kampung halaman mereka.
Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana telah menyangkut sempadan negara.
Sempadan Johor-Singapura telah wujud sejak 1927 (dimeterai Sultan Johor dan British) dan dikemas kini pada tahun 1995 (oleh Malaysia-Singapura).
Terdapat saudara-mara yang tinggal di Johor dan Singapura. Mereka juga dipisahkan oleh perjanjian sempadan ini. Namun, kita lihat penguatkuasaan di sempadan
Malaysia-Singapura sangat ketat sehingga ketirisan sempadan dapat dikawal. Oleh itu, isu sempadan menyangkut soal kedaulatan negara adalah sesuatu yang tidak patut dipandang enteng.
Laluan haram di Sungai Golok digunakan oleh penyeludup untuk menyeludup pelbagai barangan termasuk senjata api dan dadah. Sejauh manakah seriusnya kes penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Sungai Golok?
Sungai Golok yang kecil ini memungkinkan perkara ini berlaku.
Akhbar tempatan juga melaporkan perkara ini, yang mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 172 pangkalan haram berkaitan penyeludupan dadah di sepanjang Sungai Golok melibatkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, Pasir Mas dan Tumpat merekodkan bilangan pangkalan haram paling tinggi dan aktif, bahkan jumlah pangkalan itu juga sentiasa berubah. Maka, saya berpendapat bahawa perkara ini sesuatu yang serius.
Aktiviti penyeludupan juga telah membantu masyarakat di kawasan sempadan ini menjana pendapatan. Sekiranya kawalan sempadan diketatkan, ada pihak yang bimbang mata pencarian golongan itu terjejas. Adakah ia menjadi punca tiada usaha untuk mengetatkannya?
Penyeludupan adalah suatu bentuk pencurian. Majoriti penduduk di situ adalah masyarakat Islam. Mereka yang melakukan jenayah ini mungkin Islam, mungkin juga bukan Islam.
Kerajaan Kelantan menerapkan ajaran dan peraturan syariah yang sangat ketat berbanding negeri lain. Kenapa Islam tidak diangkat secara menyeluruh?
Alangkah bagus sekiranya ketegasan terhadap makanan yang dianggap tidak suci dan kelantangan terhadap wanita tidak menutup aurat diberikan juga ketegasan serta kelantangan dalam menyediakan peluang pekerjaan halal bagi penduduk tempatan?
Dalam hukum Islam, mencuri (dalam kes ini penyeludupan) atau as-sariqah ini adalah satu jenayah.
Ini bersangkutan dengan status halal dan haram.
Tugas kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah untuk membawa pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan bagi mensejahterakan rakyat.
Justeru, jika rakyat sejahtera, pasti penyeludupan tidak berlaku. Adakah penyeludupan berlaku dengan parah di sempadan Johor-Singapura? Tidak, bukan.
Jawapannya kerana di sana terdapat peluang pekerjaan yang banyak.
Ketika ini terdapat cadangan untuk membina tembok sempadan di Sungai Golok. Pada pendapat Dr., adakah ia langkah terbaik bagi mengatasi masalah rentas sempadan ini?
Kalau sekadar membina tembok tanpa penyelenggaraan dan penguatkuasaan, saya rasa tidak perlulah membina tembok ini yang akan menelan ribuan, malah jutaan ringgit.
Sekiranya projek ini dilaksanakan, adakah Thailand juga perlu sama-sama mengambil tindakan atau sama-sama mengeluarkan bajet untuk pembinaan tembok berkenaan?
Apakah pula implikasinya kepada sungai berkenaan dan penduduk sekitar?
Saya berpendapat projek ini dicanang tanpa dibincang dahulu dengan semua pihak berwajib.
Sedangkan di Amerika Syarikat ada tembok yang memisahkan Mexico pun ada ketirisan dan beberapa individu berjaya lolos, apa lagi tembok yang akan dibina ini.
Bagi tindakan segera, apakah usaha yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara bagi membendung aktiviti negatif di sempadan Malaysia-Thailand?
Kurangkan rasuah, tingkatkan penguatkuasaan. Jika Johor Bahru-Singapura memiliki sempadan utuh yang dijaga kedaulatannya, kenapa tidak di Sungai Golok?
Saya bukan menuduh pegawai Malaysia dan Thailand mengamalkan rasuah, namun boleh rujuk sendiri menerusi laman web,transparency.org yang menyenaraikan Singapura sebagai negara kelima paling sedikit rasuah, manakala Malaysia pula menduduki tangga ke-57 dalam senarai sama.
Apakah teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa bagi membendung aktiviti haram di Sungai Golok?
Saya kurang tahu mengenai teknologi, namun memandangkan negara menuju ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pengawasan menggunakan dron, mungkin cara-cara ini boleh digunakan untuk membanteras aktiviti penyeludupan.














