BARU-BARU ini, tular mengenai kisah ‘pelamin anganku musnah’ apabila majlis persandingan bertukar menjadi majlis doa selamat.
Hal tersebut terjadi gara-gara bakal pengantin perempuan dikatakan membatalkan pernikahan dan harapan tetamu meraikan raja sehari tidak kesampaian.
Sejurus berita itu tular, muncul pelbagai tanda tanya dalam ruang fikiran netizen sehinggakan pihak lelaki terpaksa membuat live bersama ibunya untuk menjelaskan situasi sebenar punca doa selamat menggantikan majlis meraikan raja sehari.
Pelbagai reaksi tidak kurang juga yang memihak kepada pihak lelaki tetapi penulis bukanlah mahu membincangkan siapa betul atau salah.
Penulis hanya tertarik dengan kisah mereka dan ketahuilah bahawa tuntutan boleh dibuat sekiranya ada pihak yang membatalkan perkahwinan pada saat akhir.
Menurut peguam sivil, syarie dan mediator bertauliah, Azmi Mohd. Rais, tindakan mahkamah boleh diambil sekiranya seseorang membatalkan perkahwinan tanpa sebab sah mengikut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mengikut seksyen berkenaan, jika seseorang mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, kemudiannya enggan berkahwin tanpa apa-apa sebab yang sah dan pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya.
“Maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Azmi turut memaklumkan, tarikh pernikahan dan persandingan harus ditetapkan semasa majlis pertunangan dan syarat-syarat perubahan perlu dinyatakan sekiranya perlu.
Berkongsi lanjut, Azmi memaklumkan, tindakan mahkamah yang boleh diambil adalah dengan tuntutan saman ganti rugi selain pihak yang membatalkan perkahwinan perlu membayar kos guaman berdasarkan pengalaman, kerumitan dan tempoh perbicaraan kes.
“Saman tuntut ganti rugi pembatalan perkahwinan boleh dilakukan dan sebaik-baiknya melalui peguam syarie yang bertauliah,” ujarnya.
Tambah Azmi, saman boleh difailkan sekiranya satu pihak telah mengeluarkan perbelanjaan seperti baju, kasut perkahwinan, kad majlis, sewaan dewan, hantaran, bunga-bungaan, cincin atau barang-barang berkaitan perkahwinan.
Sekiranya pihak disaman tidak hadir ke mahkamah walaupun penyampaian saman telah sempurna dilakukan, Azmi menegaskan, pihak yang terkilan boleh meneruskan tindakan saman tersebut dengan meneruskan perbicaraan di sebelah pihak.
“Mahkamah boleh memerintahkan pihak yang membatalkan perkahwinan (tanpa alasan munasabah) untuk membayar ganti rugi,” kongsinya.














