fbpx
SEDAP atau tidak sesuatu makanan itu adalah subjektif, sama seperti seorang lelaki memandang kecantikan seorang wanita. - GAMBAR HIASAN

Sedap puji, tak sedap jangan ‘menyalak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar mendiamkan diri atau tidak memakannya.

Andai makanan itu sedap, berilah pujian. Itu adab apabila berhadapan dengan situasi sebegini termasuk di kedai-kedai makan. Ia umpama isteri yang memasak di rumah, sedap kita puji, tidak sedap jangan dikutuk.

Tetapi zaman sekarang pelanggan terlalu jujur dalam memberi komen secara terbuka di media sosial. Jika makanan tersebut tidak kena pada tekaknya, terus ‘menyalak’ terutamanya di Facebook dan TikTok dengan pelbagai kata-kata kesat.

Sebahagian netizen lain pula menjadi ‘nasi tambah’ memanaskan lagi keadaan.

Bulan lalu, ada seorang pemilik premis hidangan barat menyindir seorang pelanggannya yang mengkritik makanan yang disediakan di media sosial.

“Nak tanya memang zaman sekarang pelanggan kalau jenis tak kena tekak bila pergi kedai makan akan ‘menyalak’ dekat grup Facebook,” soalnya.

Akaun Facebook premis berkenaan dalam satu hantaran berkata, pelanggan itu sepatutnya menghubungi terus pihaknya untuk mengemukakan sebarang aduan.

Sebelum ini juga, ada seorang wanita yang merungut secara terbuka di media sosial apabila tidak berpuas hati dengan makanan yang dibelinya di sebuah kedai tomyam.

Wanita itu mendakwa nasi goreng pattaya yang dibeli itu kelihatan seperti makanan orang sakit, tidak padan dengan harga RM13 termasuk caj penghantaran.

Sedap atau tidak sesuatu makanan itu adalah subjektif, sama seperti seorang lelaki memandang kecantikan seorang wanita. Ada orang kata cantik, ada yang ada ‘biasa-biasa’ sahaja.

Begitu juga dengan makanan. Ada yang kata sedap, ada pula yang kata tidak sedap. Bagaimanapun, itu bukan ‘tiket’ untuk kita mengkritik makanan itu di media sosial dengan mengikut selera sendiri.

Jika mahu memberi komen, lebih baik berhubung dengan pemilik kedai makan supaya mereka boleh memperbaiki kekurangan.

Tindakan mengkritik secara terbuka boleh menjatuhkan perniagaan orang lain ibarat menabur pasir di dalam periuk nasi orang.

Untuk membuka kedai makan tidak susah jika mempunyai modal, namun untuk menarik pelanggan datang dan perniagaan bertahan buat selama-lamanya adalah perkara paling susah. Tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Sebab itu banyak kedai makan yang dahulunya popular dan ramai pelanggan, namun kini lengang, malah ada yang terpaksa gulung tikar sehingga muflis ekoran pelbagai faktor.

Jadi, janganlah kita menjadi antara punca kejatuhan orang lain. Jika mahu memberi teguran membina, ikut cara yang beradab. Pengusaha kedai makan pula perlu terima kritikan dan memperbaiki segala kelemahan jika tidak mahu ‘lingkup’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN