fbpx
PEMINAT mengharapkan Speedy Tigers menunjukkan peningkatan permainan. - GAMBAR HIASAN

Apa sudah jadi Speedy Tigers?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TURUN sebagai naib juara, tetapi berakhir di tempat tercorot Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China bulan lalu ternyata meresahkan peminat terhadap masa depan arena hoki tanah air.

Lebih malang, Speedy Tigers cuma menang satu daripada enam perlawanan kali ini, kalahkan Jepun 5-4 aksi round robin sebelum tumbang kepada lawan sama dalam penentuan shoot-out di penentuan kelima/keenam.

Reputasi Malaysia juga tercalar teruk apabila dibelasah 1-8 oleh India sekali gus merekodkan kekalahan terbesar di tangan musuh tradisi itu dalam 35 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak Sukan Olimpik Tokyo 1964.

Ironinya, keputusan itu mencetuskan ‘buah mulut’ dan perdebatan dalam kalangan penggemar sukan hoki, tetapi hanya barisan kejurulatihan serta pemain yang mempunyai jawapan kepada hasil diraih di bumi China.

Apa sebenarnya bermain di kotak fikiran mereka setiap kali turun ke gelanggang, sedangkan barisan yang dipertaruhkan bukanlah budak mentah, sebaliknya sarat dengan pengalaman di pertandingan antarabangsa.

Berdasarkan senarai 20 pemain termasuk dua reserve, hanya lima pemain bawah 20 kaps, manakala 11 lagi atas 50 kaps termasuk tujuh daripadanya sudah melebihi 100 perlawanan, malah ada yang lebih 200 dan 300 kaps.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa 11 pemain skuad kali ini pernah membuat penampilan di Piala Dunia dengan sembilan daripadanya beraksi pada edisi 2022 di Bhubaneswar-Rourkela, India awal tahun lalu.

Ada juga antara mereka pernah bermain dua hingga tiga Piala Dunia menjadikan pengalaman luas ini cukup bagus untuk mencorakkan satu keputusan memuaskan dalam gabungan pemain muda dan senior.

Sebenarnya, rata-rata peminat hoki tidaklah mengharapkan sesuatu yang menakjubkan kerana mereka amat memahami situasi fasa transisi pasukan bersama barisan kejurulatihan dilantik sejak Mac lalu.

Mereka mengharapkan Speedy Tigers menunjukkan peningkatan permainan dan keputusan dari satu demi satu kejohanan dalam perjalanan menuju ke sasaran meraih emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Sebaliknya, penurunan prestasi yang berlaku dalam tiga kejohanan disertai tahun ini.

Kedua tercorot Asia, No. 4 daripada enam pada Piala Sultan Azlan Shah 2024, tercorot Asia, No. 7 daripada sembilan di Nations Cup 2024 dan tercorot daripada enam pasukan ACT 2024.

Mungkinkah ini keputusan yang harus ‘dihadam’ semua pihak dan perlu terus bersabar memberikan sokongan padu tanpa mengkritik pasukan hoki kesayangan?

Atau sesuatu yang drastik perlu dilakukan dengan sekurang-kurangnya meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) minimum untuk dicapai barisan kejurulatihan dan pemain mahupun badan induk hoki negara sendiri.

Adakah mahu melihat Speedy Tigers mundur ke belakang ketika pasukan-pasukan belasahan seperti China dan Jepun ataupun Paskitan yang ‘menyepi’ lama, kini mula menunjukkan peningkatan?

Bukan apa, bimbang Speedy Tigers tidak lagi dianggap kuasa besar Asia dan terus tercicir lagi ke Olimpik sejak kali terakhir layak pada edisi Sydney 2000. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN