fbpx
Pedofilia adalah istilah kepada ‘penyakit’ nafsu seksual terhadap kanak-kanak. - Gambar hiasan

Jangan biarkan pedofilia jadi barah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWAL bulan ini isu seorang TikToker yang menggelarkan diri sebagai Abang Bas ‘meletup’ sehingga meraih pelbagai reaksi masyarakat.

Isu itu bukan hanya mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, malah pihak polis turut tampil mengambil tindakan.

Kemuncaknya pada 10 September lalu apabila lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, Johor atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak, termasuk seorang anak saudara perempuannya.

Sehari selepas itu, lelaki tersebut sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan mengikut Seksyen Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat hantaran jelik.

Untuk isu ini, biarlah mahkamah yang menentukan sama ada lelaki itu bersalah atau tidak. Namun kisah ini perlu dijadikan iktibar kepada masyarakat.

Antara yang perlu dipandang serius adalah isu kecenderungan seks seseorang yang mempunyai unsur-unsur negatif seperti pedofilia.

Mengulas berkaitan isu ini, pedofilia adalah istilah kepada ‘penyakit’ nafsu seksual terhadap kanak-kanak.

Seorang peguam bela dan peguamcara berpengalaman, Nor Zabetha Mohamad Nor berpendapat, pedofilia ini adalah masalah psikologi.

Katanya, bab kegilaan seksual ini bukan setakat pedofilia, tetapi ada bermacam jenis.

“Pedofilia ini adalah kecenderungan seksual cenderung kepada kanak-kanak. Dia rasa bernafsu dengan kanak-kanak. Ada gila yang lain, kita panggil Zoophilia, yang ini sejenis yang berahi dengan haiwan. Ada kes sampai haiwan pun diperkosa.

“Ada jenis manusia yang necrophilia, sejenis suka mayat. Ini macam dalam kes pembunuh bersiri. Seksa dan bunuh mangsa dan perkosa atau liwat,” katanya.

Hakikatnya, adakah sehari dua baru pelaku-pelaku jenayah di negara ini menjadi gila atau proses perlahan-lahan kerana sistem, undang-undang atau masyarakat yang membenarkan?.

Kes pedofilia sudah lama berakar umbi tetapi perlahan-lahan mencengkam.

Kenapa sampai mental begini? Di Malaysia ini, kita baru didedahkan tentang bab-bab begini.

Nor Zabetha berkata, undang-undang negara kita berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak masih baru dan banyak yang tidak cukup.

“Apa entah lagi bab perlaksanaan. Ada laporan dibuat senyap sunyi. Ada kes, tiada tindakan.

“Ada pula, keluarga tak nak teruskan kerana demi menjaga maruah sebab maruah lagi mahal dari harga keadilan untuk anak. Ada jenis, alaaa…kesian dekat pelaku nanti ke penjara. Mungkin juga proses yang jadi leceh,” katanya.

Beliau berkata, banyak pelaku jika dilepaskan tanpa pengajaran hanya menjadikan dia pelaku yang lebih licik dan berhati-hati, membina benteng pertahanan yang lagi hebat memangsakan orang.

Masyarakat pula? Berbelah bagi. Ada jenis ‘victim blaming’, ada jenis menyokong, ada jenis atas pagar, ada jenis terbawa-bawa dengan naratif kisah ‘under dog’ dan ‘behind the scene’, ada jenis ‘enabler’, ada jenis menegah, ada jenis dari awal kita pangkah.

“Kita semua ada peranan. Jadi jalankan peranan kita. Jangan biar berakar umbi. Saya selalu berkongsi kesedaran begini. Biar kita cakna. Ambil tahu. Jangan biar membarah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN