PETALING JAYA – Seramai 26 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena sambutan ambang tahun baru 2021 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, semua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah, narkotik dan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Tumpuan operasi tersebut adalah di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, melibatkan seramai 27 Pegawai Kanan dan 318 anggota.
“Hasil penugasan malam tersebut, polis turut telah mengeluarkan saman sebanyak 146 keping kepada pesalah-pesalah lalulintas dengan pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihak polis telah memeriksa sebanyak 1,424 kenderaan serta turut memeriksa seramai 1,705 individu.
Katanya, pihak polis IPD Petaling Jaya turut telah mengeluarkan sebanyak 35 keping kompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – K! ONLINE














