KUALA LUMPUR – “Nak dapat RM100 sehari pun susah, orang takut nak datang membeli di sini (sekitar Jalan Masjid India).”
Itu luahan salah seorang peniaga alat mainan kanak-kanak serta pakaian di Jalan Masjid India yang ingin dikenali sebagai Ida, 45, berhubung insiden tanah jerlus sejak Jumaat lalu.
Menurut Ida, perniagaan suaminya itu bertambah merosot selain mendakwa hanya seorang pengunjung yang datang dalam masa lima jam mereka membuka gerai.
“Tiada orang datang, dalam lima jam seorang saja yang masuk.
“Kedai buka pukul 10 pagi sampai 9 malam, nak dapat RM100 pun susah sekarang. Hari ini baru dapat RM5 sebab ada yang beli stoking,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain itu, peniaga barangan kelengkapan haji dan umrah, Nurul, 30, berkata, hasil jualan seharian di kedainya boleh dikatakan negatif dan hanya bergantung kepada jualan borong sahaja.
“Kita memang terkesan sejak pandemik Covid-19, ditambah lagi dengan insiden ini, makin lama makin merosot dan macam tiada orang langsung. Nak masuk kedai pun pembeli takut.
“Hampir separuh Jalan Masjid India tutup memang macam inilah keadaannya (tiada pembeli). Mengenai keselamatan pula, kalau bercakap pasal takut, memang takut tapi sebabkan mahu cari rezeki kita tawakal saja,” luahnya.
Sementara itu, Siti Aishah Salvador, 44, yang berniaga sejak 2019 berkata, dia terkejut apabila mengetahui satu lagi mendapan berlaku berdekatan pondok Polis Masjid India, pagi semalam.
“Saya terkejut tengok garisan kuning sudah dipasang sekeliling ini, bila datang tertanya-tanya juga boleh buka kedai atau tidak. Kawan saya yang dekat (kawasan tanah mendap baru) tidak boleh buka kedai sebab dekat dengan lokasi itu.
“Kejadian baru ini hanya lebih kurang 20 meter dari kedai saya, selang tiga tapak saja,” ujarnya.














