PENERBANGAN selama dua jam 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Bandung, Jawa Barat, Indonesia terasa begitu cepat buat penulis.
Tempoh masa yang dianggap singkat itu mungkin disebabkan rasa teruja penulis memandangkan ini kali pertama menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati yang baru dibuka beberapa tahun lalu.
Kebiasaannya, lapangan terbang itu menjadi pintu masuk pelancong Malaysia untuk bercuti ke Bandung.
Namun kali ini, penulis ‘mengubah angin’ dengan memilih Garut dan Cirebon sebagai destinasi pilihan.
Selesai urusan imigresen, penulis terus menaiki van disewa untuk menikmati hidangan tengah hari di sebuah restoran terletak di Ciboer Pass dalam kawasan Majalengka.
Tiada kata yang dapat penulis ungkapkan saat tiba di situ, selain rasa syukur dan memuji kebesaran ciptaan Ilahi.
Sungguh indah tatkala melihat hamparan sawah padi yang ditanam di lereng-lereng bukit, selain rasa segar saat hembusan angin nyaman menyapa wajah penulis.
Pastinya, menu yang disajikan di restoran itu juga cukup memikat selera apabila penulis menghabiskan dua pinggan nasi dengan aneka lauk cita rasa Sunda.
Sebenarnya, Majalengka merupakan destinasi persinggahan penulis sebelum bergerak ke Garut kerana perlu melalui kawasan tersebut sebelum tiba di sana.
Selepas bermalam di Cirebon yang terletak berhampiran Majalengka, penulis meneruskan perjalanan hari kedua untuk menikmati keindahan di Garut.
Dari Cirebon ke Garut, perjalanan menaiki van mengambil masa hampir tiga jam, namun penulis disajikan dengan pemandangan indah lebih-lebih lagi saat melalui kawasan perkampungan yang disifatkan begitu ‘asli’ suasananya.

Meskipun kawasan perkampungan itu tidak begitu moden, namun ia dilihat tenang dengan dikelilingi kawasan sawah padi, selain dihiasi beberapa gunung sepanjang perjalanan.
Sebelum sampai ke Garut, penulis sempat singgah di sebuah restoran dikenali Luewi Asri Kopi dan Resto Indonesia untuk menikmati hidangan tengah hari.
Bayangkan, selain makanan enak dan air kopi susu memikat selera, suasana di situ juga begitu nyaman dengan suhu sekitar 25 darjah Celsius, ia sangat mendamaikan bagi penulis.
Selepas meneruskan sejam perjalanan, akhirnya penulis tiba di Villa Sumber Alam yang terletak di Garut.
Villa ini menjadi antara ‘wish list’ penulis apabila berkunjung ke Garut kerana menawarkan kolam air panas, di mana airnya diambil dari kaki gunung berapi yang terletak di kawasan berhampiran.
Apabila malam menjelma, suhu sekitar mencecah 19 Celcius. Penulis dan rakan-rakan meneruskan agenda utama kami iaitu berendam di dalam kolam air panas sambil bercerita mengenai hal masing-masing.
Pastinya, itu antara pengalaman yang mungkin tidak dapat dinikmati di Malaysia, namun apabila berada di Garut, ia dapat direalisasikan.
Meskipun masih kurang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, namun Garut boleh disifatkan sebagai ‘syurga’ tersembunyi di Jawa Barat.
Banyak lokasi menarik yang dapat diterokai, selain aneka makanan enak yang memikat selera.
Antaranya, sate kambing, empal gentong, nasi liwet, sei sapi, wedang ronde dan banyak lagi.














