“SAYA, Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri akan menjalankan tugas saya sebaik mungkin dan menyediakan peluang serta kebahagiaan yang sama rata kepada semua rakyat Thai (Thailand).”
Demikian tekad wanita berusia 37 tahun itu selepas menerima pelantikan rasmi daripada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn sebagai Perdana Menteri ke-31 baru-baru ini.
Pelantikan tersebut menandakan kembalinya wakil ‘dinasti’ Shinawatra ke puncak kepimpinan negara Gajah Putih tersebut.
Sebelum ini, Thailand pernah diterajui oleh dua ahli keluarga Shinawatra iaitu Thaksin Shinawatra yang memegang pucuk pimpinan antara 2001 hingga 2006 serta ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra (2011 hingga 2014).
Malangnya, tempoh kepimpinan kedua-dua ahli keluarga Shinawatra berakhir dengan rampasan kuasa oleh tentera.
Paetongtarn atau lebih mesra dipanggil sebagai Ung Ing merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Politik di Universiti Chulalongkorn.
Pada tahun 2008, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Surrey, England dalam jurusan Ijazah Sarjana Pengurusan Hotel Antarabangsa.
Sekembalinya daripada pengajian, beliau dilantik untuk menguruskan bisnes perhotelan milik keluarganya.
Paetongtarn dilantik ke jawatan Perdana Menteri Ahad lalu selepas Mahkamah Perlembagaan memecat bekas Perdana Menteri yang juga daripada partinya, Srettha Thavisin.
Srettha dipecat selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan bekas Perdana Menteri itu melanggar etika dengan melantik anggota kabinet yang memiliki sabitan jenayah.
Susulan itu, calon kedua parti Pheu Thai itu memenangi undi di parlimen, sekali gus bergelar Perdana Menteri termuda negara berkenaan.
Menurut wartawan politik antarabangsa di Bangkok, Sui-Lee Wee, penerimaan Paetongtarn terhadap pencalonannya mengejutkan sebahagian pemerhati politik.
Ujarnya, perkara tersebut menimbulkan spekulasi sama ada Paetongtarn hanyalah ‘boneka’ kepada Thaksin.
“Beliau merupakan bekas timbalan ketua eksekutif syarikat pengurusan hotel yang dikendalikan oleh keluarganya.
“Oleh itu, peranannya lebih kepada penasihat kepada barisan pimpinan hotel berbanding mentadbir secara langsung.
“Jika dilihat, pengalamannya dalam kepimpinan amat tipis, apatah lagi dengan tanggungjawab memimpin sebuah negara,” katanya.
Untuk rekod, ibu kepada dua cahaya mata itu menyertai dunia politik pada 2021, apabila parti Pheu Thai yang diasaskan oleh Thaksin melantiknya sebagai Ketua Jawatankuasa Penasihat Kemasukan dan Inovasi.
Pada ketika itu, anak bongsu Thaksin itu mengakui tidak berminat untuk menjadi ahli politik, sebaliknya lebih suka berkhidmat dalam kapasiti penasihat.

Bagaimanapun, ketika negara memasuki musim pilihan raya pada akhir 2022, Paetongtarn merebut peluang untuk bertanding.
Parti itu menamakan beliau sebagai salah seorang calon mereka pada pilihan raya tahun lepas.
Ahli sains politik daripada Instituti King Prajadhipok, Dr. Stithorn Thananithichot berkata, survival politik Paetongtarn sebagai Perdana Menteri bergantung pada sejauh mana kerajaannya mengemudi ekonomi.
Ujarnya lagi, Paetongtarn juga perlu mengekalkan hubungan dengan elit royalis-tentera yang berkuasa.
“Menjadi legasi kepada ‘dinasti’ politik sahaja tidak cukup untuk kekal lama. Paetongtarn perlu bijak menguruskan ekonomi serta hubungan bersama kelompok elit yang berkuasa.
“Sekiranya tidak dapat melaksanakan kedua-duanya, dia berisiko dipecat daripada jawatan seperti dilalui Srettha,” jelasnya.
Sedikit latar belakang, Thailand berada di bawah kuasa tentera selama hampir sedekad setelah rampasan kuasa tentera berlaku pada 22 Mei 2014.
Pada ketika itu, rampasan dilakukan oleh Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha ekoran krisis politik Thailand yang berlanjutan lebih enam bulan.
Bagaimanapun pada tahun lalu, rakyat Thailand berjaya menamatkan pemerintahan tentera apabila majoriti besar iaitu kira-kira 25 juta pengundi mengundi gabungan parti Move Forward dan Pheu Thai.
Kedua-dua parti yang berkempen dengan ideologi anti rampasan kuasa dan prodemokrasi itu mengetepikan empat parti lain.
Keputusan yang paling tidak dijangka adalah apabila parti Move Forward berjaya mengatasi parti legasi Shinawatra iaitu Pheu Thai dengan memenangi 151 kerusi berbanding 141.
Kejayaan itu juga menyaksikan mandat pilihan raya memihak kepada parti progresif dan calon Perdana Menteri yang tidak mewakili kuasa lama.
Bagaimanapun, parti Move Forward (MFP) akhirnya diharamkan dan wakilnya, Pita Limjaroenrat dihalang daripada memegang jawatan dalam politik selama 10 tahun.
Keputusan itu dibuat oleh senat yang ahli-ahlinya telah dilantik oleh junta.
Rentetan itu, Pheu Thai mendapat laluan untuk membentuk kerajaan dengan melantik Srettha sebagai Perdana Menteri, sebelum jawatan itu menjadi milik Paetongtarn.
Sementara itu, Felo Pelawat di Institut Yusof Ishak (ISEAS), Panarat Anamwathana menjangkakan bahawa generasi muda Thailand sudah kehilangan dorongan untuk memprotes keputusan itu.
“Sistem keadilan sama yang membubarkan Future Forward dan MFP telah menghancurkan semangat pergerakan pelajar.
“Pemimpin yang muncul daripada protes 2020 telah didakwa dan dipenjarakan. Mereka seolah-olah melarikan diri dari negara ini.
“Dengan keadaan sedemikian, sukar bagi pergerakan sama yang membawa perubahan pada tahun lalu untuk mengekalkan momentumnya,” jelasnya.
Namun ujarnya, kekurangan protes jalanan tidak bermakna anak muda akan berdiam diri, tetapi mereka akan menggunakan saluran lain yang lebih strategik.














