LIPIS – Perubahan cuaca yang melanda negara sejak kebelakangan ini memberi kesan ketara kepada pengeluaran durian di negeri ini, sekali gus menyebabkan kemerosotan hasil antara 45 hingga 55 peratus.
Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Muhd. Rizal Baharom berkata, cuaca panas melampau menyebabkan banyak bunga durian luruh selain turut menjejaskan kualiti raja buah itu.
“Mengikut data pada tahun lalu, jumlah pengeluaran yang dihasilkan adalah 131,308.55 tan metrik durian dengan nilai kira-kira RM2.6 bilion. Ia melibatkan keluasan tanaman seluas 16,718.93 hektar.
“Ada sesetengah tempat yang kurang mendapat hujan dan boleh dikatakan kualiti durian di setiap daerah di Pahang terjejas berbanding tahun lalu.
“Namun, kalau hujan lebat pula, ia boleh menyebabkan buah durian menjadi mengkal,” katanya pada Program Hari Durian Peringkat Daerah Lipis di pekarangan Pejabat Pertanian Daerah Lipis di sini semalam.
Muhd. Rizal berkata, ketika ini kebun komersial yang diusahakan pekebun di Pahang dilihat lebih luas berbanding kebun tradisional.
“Di Pahang, kalau kita tengok trend ketika ini, durian komersial khasnya black thorn dan musang king banyak mendapat permintaan benih dari Jabatan Pertanian dan kami pun menjual dengan harga yang murah dan berkualiti.
“Kalau kita membuat jualan, memang mendapat sambutan yang hangat daripada pekebun-pekebun di sini,” ujarnya.
Katanya, pihak jabatan turut memperkasakan usaha dan memberi ilmu kepada pekebun-pekebun tradisional yang masih menghasilkan durian kampung dengan kualiti yang rendah untuk mempelajari serta membuat cantuman dewasa dengan tunas durian musang king.
















