fbpx
CAHAYA daripada lampu LED digunakan bagi menggantikan cahaya matahari untuk membolehkan daun melakukan proses fotosintesis.

K2

Kilang tanaman eksperimen MARDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKALI imbas, struktur luaran bangunan setinggi dua tingkat yang terletak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor itu tidak ubah seperti gudang yang sering menghiasi kawasan perindustiran.

Selepas menjengah di dalamnya, ternyata monumen berkeluasan 30 x 50 meter (m) persegi dengan berketinggian 20m itu cukup unik memandangkan ia dipenuhi pelbagai sayur yang ditanam secara bertingkat di atas rak.

Uniknya, sayur tersebut tumbuh dalam persekitaran tertutup dengan dibantu oleh teknologi pertanian moden yang dibangunkan sendiri oleh pihak MARDI.

Mula beroperasi pada tahun 2016, bangunan yang dikenali sebagai kilang tanaman itu dibangunkan bertujuan membolehkan MARDI melakukan penyelidikan mengenai potensi pertanian di dalam tempat tertutup.

Menariknya, kilang tersebut dikawal oleh pengaruh persekitaran secara artifisial dengan dilengkapi pelbagai sistem bagi memastikan tanaman tumbuh secara normal seperti di ladang konvensional.

“Menerusi kilang tanaman ini, semua elemen yang diperlukan oleh tumbuhan hijau seperti cahaya, suhu, karbon dioksida dan kelembapan dikawal secara buatan.

“Teknologi ini masih baharu di Malaysia jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun, China, Taiwan dan Korea Selatan,” ujar Pegawai Penyelidik Hortikultur MARDI, Dr. Zulhazmi Sayuti kepada K2 baru-baru ini.

 

 

KILANG tanaman hasil penyelidikan MARDI menggunakan kaedah hidroponik bertingkat bagi memanfaatkan ruang yang terhad.

Bangunan tersebut dilengkapi sebanyak 18 rak setinggi tujuh tingkat yang mampu menempatkan hampir 16,000 pokok sayuran berdaun pada satu-satu masa.

Ketika ini kapasiti pengeluaran kilang tanaman adalah sebanyak dua tan sebulan. Kebanyakan sayur yang kilang tanaman adalah bernilai tinggi di pasaran seperti salad jenis lose type, perfecto, arugula, green coral, green parade serta butterhead dan kailan.

Zulhazmi berkata, memandangkan kilang tersebut tertutup, maka pihaknya menggunakan cahaya daripada lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi mengantikan cahaya matahari sekali gus membolehkan daun melakukan proses fotosintesis.

Katanya, photosynthetically active radiation (PAR) di kilang tanaman dikekalkan antara 200 hingga 400 umol m-2, manakala spektrum cahaya merah (610 hingga 750 nanometer (nm)) serta biru (400 hingga 520 nm).

“Lampu LED adalah sumber cahaya lebih baik kerana kurang menghasilkan haba dan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik serta mengurangkan kos operasi.

“Ia juga terbukti lebih baik bagi penghasilan nutrien dan bahan antioksidan dalam daun selain kualiti sayuran dapat ditingkatkan dari aspek bentuk, tekstur dan warna.

“Lampu LED di kilang ini menggunakan formula tersendiri melalui kerjasama penyelidikan antara MARDI bersama sebuah syarikat tempatan, Impressive Edge Sdn. Bhd,” jelasnya.

Pendingin hawa turut dipasang di dalam kilang tanaman bagi memastikan suhu sekitarnya kekal stabil iaitu antara 23 hingga 25 darjah Celsius.

Menurut Zulhazmi, kilang tanaman berkenaan beroperasi sepenuhnya menggunakan kaedah hidroponik bertingkat bagi membolehkan pengeluaran sayur dapat dimaksimumkan.

Jelasnya, kaedah berkenaan didapati lebih praktikal dan sesuai dengan konsep kilang tanaman yang tidak mempunyai ruang tanaman terhad.

“Kami memilih untuk mengaplikasikan kaedah hidroponik kerana ia berasaskan air sepenuhnya. Penjagaan tanaman hidroponik juga adalah lebih mudah dan menjimatkan masa,” jelasnya.

Menerusi kaedah tersebut, jumlah pengeluaran sayuran di kilang tanaman setiap bulan menyamai dengan keluasan ladang konventional seluas 0.6 hektar.

Kapasiti pengeluaran tersebut adalah sebanyak lima hingga 10 kali ganda bagi seunit ruang yang sama di kawasan ladang sayuran di atas tanah biasa.

 

APLIKASI IoT digunakan untuk memantau dan mengawal sistem lampu, pendingin hawa, selain pengairan dan pembajaan sayur di kilang tanaman berkenaan.

 

Sementara itu Pegawai Penyelidik Horikultur MARDI, Mohammad Adib Ahmad memaklumkan, kilang tanaman berkenaan dikawal dan dipantau sepenuhnya menerusi aplikasi Internet of Things (IoT).

Ujarnya, aplikasi tersebut terdiri daripada sensor bagi setiap parameter ditempatkan di rak kilang tanaman serta pengairan berpusat.

Dia menambah, sensor berkenaan dihubungkan melalui jaringan rangkaian mobile hotspot dan semua maklumat persekitaran serta pengairan dapat diperoleh menerusi telefon pintar atau laman sesawang.

“Kawalan sistem seperti lampu LED dan pendingin hawa, pengairan, pembajaan di dalam kilang tanaman ini juga boleh dilakukan melalui aplikasi IoT.

“Sistem ini memudahkan petani memantau keadaan kilang dari masa ke masa. Data yang dikumpulkan dalam sistem cloud juga dapat memudahkan petani menganalisis setiap parameter yang diukur,” terangnya.

 

BANGUNAN yang dijadikan eksperimen kilang tanaman di MARDI Serdang.

 

Konsep kilang tanaman sangat sesuai diaplikasikan di kawasan bandar yang mempunyai kawasan terhad. Konsep ini mampu menjimatkan kos operasi menerusi penggunaan tenaga kerja minimum.

Dalam pada itu, Mohammad Adib berkata, tujuan utama MARDI membangunkan teknologi berkenaan adalah bagi memastikan bekalan sayur negara kekal stabil.

Jelasnya, kewujudan kilang tanaman mampu mengatasi masalah persekitaran, misalnya masalah kekurangan tanah akibat proses ubarninasi serta perubahan iklim yang ekstrem.

“Sistem ini dapat memastikan sayur dikeluarkan mengikut kapasiti diharapkan kerana tidak dipengaruhi faktor cuaca seperti kemarau atau banjir.

“Keadaan ini membolehkan bekalan sayuran kekal terjamin, sekali gus dapat mengurangkan jumlah kuantiti import sayur negara yang mencecah 1.5 juta tan pada tahun 2018,” jelasnya.

Menariknya, hasil kajian yang dilakukan MARDI, sayur yang dikeluarkan dari kilang tanaman didapati lebih bersih, berkualiti tinggi dan organik.

SAYUR tumbuh subur dalam suasana tertutup, dibantu teknologi pertanian moden oleh MARDI.

 

Mohammad Adib berkata, sayur dari kilang tanaman juga lebih segar dan berkualiti tinggi kerana tidak menggunakan sebarang racun perosak seperti di ladang konvensional.

Katanya, sayur yang dihasilkan di kilang tanaman mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran terutamanya pasar raya besar, restoran serta penyedia servis kesihatan.

“Sayuran dari sini bersifat organik dan sering mendapat permintaan daripada penduduk bandar yang amat menitikberatkan makanan berkhasiat dalam kehidupan.

“Justeru, tidak hairanlah sekiranya harga salad di kilang tanaman mampu mencecah RM16.66 sekilogram. Situasi ini dapat membantu memakmurkan sosioekonomi petani,” terangnya.

Buat masa ini, kilang tanaman yang diusahakan MARDI hanya untuk penyelidikan dan memberi idea kepada petani.

Petani atau usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsep kilang tanaman, boleh berhubung terus dengan pihak MARDI bagi mengatur temu janji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN