PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui wujud kekurangan organ daripada penderma selepas kematian.
KKM dalam kenyataannya kepada Kosmo! berkata, isu itu yang bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, malah juga di negara-negara lain.
“Ketidakseimbangan di antara ‘demand and supply’ menyebabkan tempoh masa menunggu yang lama untuk menjalani pembedahan transplantasi daripada penderma selepas kematian.
“KKM mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pemerdagangan organ atau perolehan organ bagi tujuan transplantasi melalui aktiviti komersialisasi termasuklah jualan di mana-mana platform media sosial atau e-dagang,” katanya.
KKM menegaskan, dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu ditangani secara serius kerana ia memberi impak yang besar kepada perkhidmatan transplantasi di Malaysia dan secara tidak langsung boleh mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Pendermaan organ boleh diperoleh daripada penderma selepas kematian atau daripada penderma yang masih hidup.
“Eksploitasi terhadap golongan tertentu adalah bercanggah dengan etika perubatan dan sebarang aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” tegasnya.
Bagi membanteras isu pemerdagangan organ termasuk buah pinggang, KKM melalui penubuhan sebuah jawatankuasa khas akan meneliti setiap permohonan pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup.
“Penelitian ke atas pasangan bakal penderma dan penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan (unrelated) ataupun melibatkan pasangan bakal penderma dan penerima bukan warganegara.
“Objektif utama jawatankuasa adalah melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan,” katanya.
Malah KKM memberitahu, kawal selia kelulusan fasiliti perubatan swasta adalah di bawah bidang kuasa pihaknya.
“Di Malaysia, pusat perubatan swasta yang ingin menyampaikan perkhidmatan transplantasi buah pinggang perlu mendapatkan kelulusan khas lesen perkhidmatan fasiliti mengikut peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Mereka juga perlu mematuhi garis panduan untuk menubuhkan atau menyediakan kemudahan serta perkhidmatan renal transplant di hospital swasta (Bil 1/2014),” jelasnya.
Kosmo! menerusi laporan khas bersiri Julai lalu melaporkan, terdapat pihak yang terdesak kerana berdepan kesempitan hidup nekad menjual buah pinggang secara terbuka di Facebook biarpun ia menyalahi undang-undang. -KOSMO! ONLINE














