PENDERMAAN organ selepas kematian adalah harus di sisi syarak, malah boleh menjadi suatu amalan yang sangat mulia apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. - GAMBAR HIASAN

Mulianya amalan derma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH seorang bekas pendidik, Allahyarham Normah, 72, untuk terus berbakti kepada masyarakat mendermakan organ dan tisunya baru-baru ini mendapat perhatian orang.

Allahyarham yang menghembus nafas terakhir pada minggu lalu sebelum ini telah berikrar sebagai penderma organ dan hasrat tersebut ditunaikan oleh ahli keluarganya.

Susulan itu, ramai yang mula mempertanyakan mengenai hukum mendermakan organ, le­bih-lebih lagi apabila melibatkan keputusan ahli keluarga.

Di satu sisi, wujud keinginan membantu pesakit yang memerlukan, namun timbul kebimbangan sama ada tindakan itu dibenarkan menurut syarak mahupun sebaliknya.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, secara umumnya, pendermaan organ selepas kematian adalah harus di sisi syarak, malah boleh menjadi suatu amalan yang sangat mulia apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak dan pihak berkuasa.

Menurutnya, keputusan ini turut selaras dengan panda­ngan majoriti badan fatwa di Malaysia dan dunia Islam yang melihat pendermaan organ sebagai salah satu bentuk ta’awun (saling membantu) dan usaha memelihara nyawa manusia (hifz al-nafs), iaitu antara objektif utama Maqasid Syariah.

“Hukumnya (anak membenarkan organ ibu bapanya didermakan selepas mereka meninggal dunia) menurut Islam adalah bergantung kepada keadaan.

“Jika ibu atau bapa telah berikrar atau menyatakan persetujuan semasa hidup untuk menjadi penderma organ, maka anak-anak hendaklah menghormati dan melaksanakan hasrat tersebut, selagi mana proses pendermaan itu memenuhi syarat-syarat syarak.

“Dalam keadaan ini, anak-anak bukan membuat keputusan baharu, sebaliknya menunaikan amanah dan hasrat terakhir ibu bapa mereka.

“Kisah yang dilaporkan mengenai seorang bekas pendidik yang telah berikrar sebagai penderma organ dan keluarganya menunaikan hasrat tersebut merupakan contoh keadaan seperti ini,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, jika si mati tidak pernah memberi keizinan atau menyatakan hasratnya, maka hukum menjadi berbeza kerana tubuh badan seseorang mempunyai kemuliaan yang tetap dipelihara selepas kematian.

“Anak tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan (menderma organ ibu bapa jika tiada wasiat dibuat semasa hidup) kerana anak bukan pemilik tubuh badan ibu bapanya. Tubuh manusia adalah amanah daripada Allah SWT.

“Oleh itu, jika tiada sebarang persetujuan atau ikrar dibuat semasa hayat, para ulama berbeza pandangan tentang sejauh mana keluarga boleh memberikan keizinan.

“Di Malaysia, amalan semasa ialah pihak hospital mendapatkan persetujuan waris terdekat. Namun dari sudut fiqh, persetujuan waris bukan bererti mereka memiliki jasad si mati, sebaliknya ia merupakan suatu bentuk keizinan bagi memastikan tiada pertikaian dan menjaga maslahat serta penghormatan terhadap jenazah,” ujarnya.

Justeru, keadaan yang pa­ling baik ialah seseorang menyatakan hasratnya semasa hidup supaya tiada keraguan dalam keluarga selepas kematiannya.

“Sekiranya si mati telah berikrar menjadi penderma organ, maka beberapa syarat penting hendaklah dipenuhi. Antaranya pendermaan dilakukan secara sukarela bukan paksaan, organ itu benar-benar diperlukan untuk menyelamatkan nyawa atau memulihkan fungsi penting tubuh penerima dan bukan untuk tujuan kosmetik atau komersial.

“Syarat lain adalah tiada unsur jual beli atau keuntungan daripada organ tersebut kerana anggota badan manusia tidak boleh dijadikan barang dagangan, proses pengambilan organ dilakukan dengan penuh hormat terhadap jenazah dan jenazah hendaklah diuruskan seperti biasa mengikut tuntutan syarak,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN