GEORGE TOWN – Biarpun harganya mencecah RM1,000 sebiji, namun keenakan tupai king mendorong sekumpulan peminat raja buah dari Singapura ‘bercuti’ selama seminggu di Pulau Pinang bagi menikmati durian tersebut.
Bagi mereka, percutian itu berbaloi apabila dapat merasai varieti durian jarang jumpa biarpun terpaksa membayar pada nilai yang tinggi.
Pelancong dari Singapura yang mahu dikenali sebagai Ken, 34, berkata, percutiaannya bersama tiga rakan ke Pulau Pinang sejak Isnin lalu adalah semata-mata mahu merasai kenikmatan tupai king selain durian premium lain.
Menurut jurutera itu, sudah menjadi kelazimannya berkunjung ke Pulau Mutiara setiap kali musim durian dan memilih tinggal di hotel sekitar Batu Ferringhi selama seminggu.
“Saya datang ke Balik Pulau semata-mata mahu menikmati durian tupai king, antara buah paling eksklusif di Singapura selain daripada jenis emas hitam dan beserah.
“Harga tupai king di sini lebih rendah iaitu sekitar RM36 sekilogram berbanding di Singapura iaitu RM210 sekilogram. Namun, saya rela bayar tinggi bila ada peniaga meletakkan harga sehingga RM200 sekilogram atau sebiji RM800.
“Keenakan musang king dan black thorn atau tupai king tetap tidak boleh cabar raja buah yang lain,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga durian di Balik Pulau, Raymond, 34 memberitahu, kebanyakan kaki durian hanya akan menikmati sebiji sahaja tupai king sebelum beralih kepada durian super premium.
“Mereka yang datang secara berkumpulan terdiri empat atau lima orang juga dilihat turut berkongsi sebiji durian tupai king berbanding duri hitam atau musang king apabila masing-masing akan makan lebih daripada sebiji.
“Dakwa mereka (pelanggan), buah premium lebih tebal isinya, rasanya yang manis, berkrim serta puas dimakan.
“Kualiti buah itu (musang king dan duri hitam) sukar untuk dibandingkan dengan buah jenis kahwin yang lain,” ujarnya yang menjelaskan musang king dan duri hitam dijual pada harga RM65 sekilogram.














