fbpx
Keadaan Surau Tokku Paloh, Kuala Terengganu semalam.

Usap tiang Nabi Khidir sandar hanya kisah dongeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Perbuatan ritual mengusap tiang surau yang dikatakan pernah menjadi tempat Nabi Khidir bersandar dilakukan tanpa pengetahuan waris terdekat Tokku Paloh atau nama sebenarnya, Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus.

Salah seorang waris ulama terkenal Terengganu itu yang mahu dikenali sebagai Syed Khairul Syed Mustafa membe­ritahu, beliau sendiri tidak tahu kisah moyangnya pernah dizia­rahi Nabi Khidir seperti didakwa segelintir pihak.

Cicit Tokku Paloh berkenaan juga tidak mengenali individu-individu yang didakwa melakukan perbuatan ritual terhadap sebatang tiang surau yang terletak berhampiran pusara moyangnya.

“Saya tidak kenal mereka. Berdasarkan klip video yang tular di media sosial berkenaan, saya percaya ia berlaku tanpa pengetahuan kami (waris Tokku Paloh) dalam tempoh antara empat atau lima tahun lalu,” katanya di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan, umat Islam terutama di bandar raya ini kurang senang dengan perbuatan segelintir pihak me­ngusap tiang surau terbabit yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.

Tiang surau yang terletak berhampiran pusara Tokku Paloh yang juga penasihat Sultan Terengganu ke-12, Sultan Zainal Abidin III itu dikatakan pernah menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.

Nabi berkenaan didakwa pernah menziarahi Tokku Paloh sewaktu hayat ulama besar terbabit antara tahun 1817 dan 1917.

Syed Khairul menjelaskan, berdasarkan pemerhatiannya terhadap video tular terbabit, terdapat beberapa perbezaan struktur surau serta warna din­ding sebuah rumah berhampiran surau berbanding pada waktu ini.

Beliau berkata, dinding rumah di dalam video tersebut kelihatan berwarna kelabu sedangkan ia kini sudah berwarna hijau gelap.

“Saya difahamkan dinding rumah itu sudah dicat baharu lebih empat tahun lalu. Selain itu, sekarang sudah ada wakaf (tempat rehat) dan kolah (tempat wuduk) juga sudah berbumbung yang tidak kelihatan dalam video berkenaan.

“Saya juga tidak kenal individu yang memberi penerangan ko­nonnya tiang surau terbabit telah menjadi tempat Nabi Khidir bersandar. Keterangannya meragukan kerana kami (waris Tokku Paloh) pun tidak pernah dengar,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan Syed Khairul dan dua penduduk kampung lain yang arif tentang sejarah Tokku Paloh.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, perbuatan ritual mengusap tiang surau terbabit yang tular baru-baru ini merupakan kes lama dan bukanlah berlaku pada masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN