TUBUH Ramlan telah ‘dihimpit’ oleh lembaga hitam setinggi dua meter ketika sedang tidur. – Ilustrasi Shah Hasan

Disakat penunggu ketika minggu orientasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang tua-tua, kalau rumah atau bilik ditinggalkan lebih tiga hari, akan ada makhluk halus datang menumpang.

Mungkin ia menganggap rumah atau bilik tersebut tidak lagi digunakan manusia, maka kesempatan itu harus diambil.

Kisah mitos kali ini dikongsi oleh alumni sebuah universiti yang berlaku kira-kira 30 tahun lalu.

Menurut bekas peguam berasal dari sebuah negeri di Utara, Ramlan Samad, 52, dia meremehkan amalan memberi salam apabila masuk ke bilik kosong yang ditinggalkan selama sebulan kerana cuti semester.

“Zaman itu darah masih muda, nasihat orang tua-tua kita buat dengar tak dengar sahaja. Kita rasa amalan itu semua kuno dan semberono.

“Masa itu minggu orientasi, saya sebagai pelajar senior ditugaskan untuk mengendali pelajar-pelajar baharu di sebuah kolej kediaman,” katanya.

Ramlan yang bertubuh agak sasa berkata, dia dan sahabatnya, Haris Othman ditempatkan di bilik paling bawah menghadap perhentian bas.

Katanya lagi, lokasi tersebut dipilih kerana mereka inginkan suasana hiruk-pikuk kereta dan orang ramai lalu-lalang.

“Namun pada masa itu, universiti masih bercuti. Penggal baharu akan dibuka lagi 10 hari. Cuma kami yang terlibat dengan orientasi masuk awal ke universiti.

“Semasa masuk ke bilik yang mempunyai katil berkembar atau ‘double decker’ itu, tanpa memberi salam saya dan Haris terus baring di atas katil masing-masing,” katanya.

Sejam sebelum taklimat berlangsung, Ramlan dan Haris mengambil kesempatan bersolat serta bersembang tentang keputusan peperiksaan semester lepas.

Jelasnya lagi, semasa bersembang, ada juga terpacul kisah-kisah seram yang diceritakan oleh senior di kolej kediaman tersebut.

“Lagi pun, kolej kediaman itu tidak jauh dari kolej kediaman saya, maka kisah seram bukanlah sesuatu untuk dibimbangi,” ujarnya.

Sesi taklimat hari pertama pendaftaran untuk urus setia minggu orientasi berakhir pada pukul 11 malam.

Suasana malam di kolej kediaman amat sunyi kerana setiap petugas yang seramai 60 orang ditempatkan di empat blok berbeza.

“Malam itu saya dan Haris tidur lena kerana kepenatan tanpa ada insiden menyeramkan.

“Suasana kolej kediaman pun sunyi tanpa ada suara cengkerik.

“Kami bangun menjelang subuh dan semua petugas berkumpul untuk bersolat dan bersarapan di dewan makan. Hari pertama semua agenda berjalan lancar,” katanya.

Ramlan berkata, semasa sarapan, tiada rakan-rakan yang bercerita tentang peristiwa pelik di bilik masing-masing.

Program hari kedua, agak memenatkan kerana berlangsungnya sesi penyelarasan tugas untuk menyelia pelajar baharu dan berlarutan hingga tengah malam.

“Malam kedua di kolej kediaman tersebut, saya dan Haris tidak banyak bersembang kerana ingin berehat secukupnya sebelum melayan kehadiran pelajar-pelajar baharu keesokan harinya.

“Setelah terlena di katil, tiba-tiba tubuh saya seakan ‘ditimpa’ sesuatu yang amat berat hingga menyukarkan saya untuk bernafas,” katanya.

Jelas Ramlan, dia merasakan seperti kelemasan di dalam air kerana mukanya dihempap makhluk yang tidak berbentuk dan tidak boleh dirasai.

Jelas Ramlan lagi, dia seperti ditimpa objek yang rata sehingga tidak mampu meronta-ronta.

“Ketika itu, saya hanya ingat akan mati tanpa sempat bertaubat nasuha. Saya baca apa saja ayat suci al-Quran yang terlintas di minda.

“Alhamdulillah, sedikit demi sedikit jisim misteri yang menimpa tubuh saya lenyap begitu sahaja.

“Saya segera turun dari katil dan membuka lampu. Haris pun ada kisahnya sendiri dan turut terjaga,” katanya.

Ramlan memberitahu, Haris mendengar dengan jelas dia seperti mengigau dan meronta-ronta di atas katil kira-kira setengah jam.

Ujar Ramlan, Haris tidak berani untuk bangunkan dia kerana terpaku melihat lembaga hitam setinggi dua meter di hujung katilnya.

“Kami berdua memutuskan untuk membuka lampu bilik dan bercerita tentang gangguan yang berlaku sebentar tadi.

“Selepas membaca beberapa surah dan berselawat, kami kembali ke katil masing-masing untuk tidur dengan harapan tiada lagi peristiwa menyeramkan berlaku,” jelasnya.

Malangnya, ‘ribut’ tidak lagi reda kerana ‘makhluk’ misteri datang semula dan menghempap Ramlan sekali lagi.

Kali ini, Ramlan melawan dan meronta sekuat hati sehingga kakinya menyepak katil Haris di sebelah atas.

“Haris pun meloncat dari katilnya dan menenangkan saya yang seperti sedang menahan sesuatu amat berat.

“Saya pun tersedar dalam keadaan berpeluh dan segera mengajak Haris keluar dari bilik tersebut dan menuju ke arah bilik urusetia,” katanya.

Dalam kedinginan dini hari, Ramlan berkata, dia dan Haris tidur di atas lantai di dalam bilik urus setia.

Kata Ramlan lagi, dia teringat kata Haris yang berharap makhluk misteri tersebut tidak mengikut mereka ke bilik urus setia.

“Mungkin makhluk itu marah kerana kami tidak bagi salam kepadanya, sebab itu dia marah dan hambat kami keluar.

“Bila hari sudah siang, kami kembali ke bilik dan memberi salam dengan tertib serta meminta maaf kepada ‘penghuni’ bilik itu.

“Alhamdulillah, tiada lagi gangguan sehingga habis seminggu program orientasi,” jelasnya mengakhiri cerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN