Kaya yang dimaksudkan di sini bukan memiliki kemewahan wang ringgit, aset yang banyak di dalam dan di luar negara, memiliki pelaburan saham dan tabungan dalam dana amanah yang mencecah ratusan ribu ringgit tetapi lebih kepada kekayaan hati budi si tuan kucing itu sendiri.
Kaya juga melibatkan ilmu yang banyak tentang penjagaan kucing dengan cara yang betul selain kaya dengan simpati, empati, keprihatinan dan timbang rasa terhadap masyarakat di sekeliling khususnya jiran, saudara-mara serta komuniti.
Kaya juga melibatkan disiplin yang tinggi untuk menjaga kebersihan diri, rumah, kawasan persekitaran kediaman kerana jika anda bukan seorang yang rajin maka akan timbulah isu pencemaran bau, kawasan persekitaran yang dipenuhi dengan najis dan air kencing kucing yang menyakitkan mata.
Semua perkara ini, jika tidak dijaga dengan sebaiknya, boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, bermasam muka sesama jiran.
Malah jika semakin lama dendam dipendam boleh mengakibatkan ia dibahaskan dalam kumpulan WhatsApp kejiranan sehingga menyebab pergaduhan.
Memang diakui semua orang suka memelihara kucing apatah lagi jenis kucing yang berbulu lebat, berbadan gemuk, muka yang comel dengan nilainya yang boleh mencecah ribuan ringgit tetapi sebenarnya ia memerlukan satu pengorbanan, disiplin dan komitmen yang amat tinggi untuk menjadikan ia sebagai binatang peliharaan yang sihat serta ceria.
Untuk itu, tuan kucing perlu berbelanja besar untuk aspek pembelian makanan yang berkualiti, tempat pembuangan najis, bekas air, vakum khusus untuk membersihkan bulu-bulunya yang berterbangan melekat di sofa dan pelbagai lagi peralatan di rumah.
Belum lagi jika kucing tersebut sakit dan perlu dibawa ke klinik haiwan kerana kos rawatannya pula kadang-kadang lebih mahal daripada kos rawatan si tuan kucing itu sendiri jika dia demam.
Lebih membebankan diri apabila si tuan kucing merancang untuk bercuti yang melibatkan beberapa hari sehingga menyebabkan binatang tersebut terpaksa dihantar ke hotel kucing yang harganya juga agak mahal sehingga bajet percutian tuan pula dicongak semula untuk memberi keadilan bagi dua-dua pihak.
Jadi, bukan mudah untuk menjadi tuan kucing yang berjaya tanpa memiliki wang atau tabungan mencukupi apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar kini bila kos sara hidup terus mencanak naik.
Tidak dapat dibayangkan penulis jika tuan kucing itu memiliki empat hingga lima ekor bulus di dalam rumah tanpa menempatkan semua binatang tersebut dalam sangkar yang bersesuaian, selesa dan luas, berhawa dingin serta juga bersih.
Untuk menjadi tuan kucing bukan boleh dibuat secara semberono hanya kerana minat dan simpati terhadap binatang tersebut.
Sebaiknya utamakan dulu aspek kesihatan diri sendiri, keluarga dan anak-anak atau bayi yang masih kecil. Takut nanti makanan yang kucing makan lebih mahal dan berkualiti berbanding lauk yang si tuan kucing makan.














