fbpx
ALLAHYARHAM ZULKIFLI sebelum berangkat ke Alaska, Amerika Syarikat.

‘Impian Zulkifli mahu tawan 7 puncak di 7 benua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendaki Ekspedisi Gunung Denali yang maut ketika mendaki gunung itu di Alaska, Rabu lalu, Zulkifli Yusof menyimpan impian untuk menawan tujuh puncak di tujuh benua dan telah menyempurnakan pendakian dua daripada gunung tersebut.

Ketua Komunikasi Alpine Club Malaysia (ACM), Ayob Yahaya berkata, Zulkifli, 37, yang masih bujang serta bekerja sebagai jurutera Petronas sudah menawan puncak Aconcagua di Argentina dan Elbrus di Russia.

“Misi bagi kedua-dua puncak itu disempurnakan sebelum pandemik Covid-19. Ikut peranca­ngan, setahun dia mahu panjat satu (gunung) dan berkemungkinan dalam tiga tahun akan habis (selepas pendakian).

“Untuk Gunung Denali iaitu salah satu daripada tujuh puncak itu, saya juga dah panjat gunung itu. Saya tahu di mana kesusahannya termasuk kelajuan angin di tempat itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

TANDA arah menunjukkan laluan yang perlu dilalui oleh pendaki untuk menawan puncak Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat.

Selain puncak Aconcagua, Elbrus dan Denali, empat lagi gunung di dalam senarai tujuh puncak di tujuh benua ialah ­Everest terletak di antara Nepal dan Tibet, Kilimanjaro (Tanzania), Vinson Massif (Antartika) serta Kosciuszko (Australia).

Ditanya mengenai peribadi Zulkifli, Ayob berkata, dia pernah mendaki dua gunung bersama-sama Allahyarham dan menyifatkannya sebagai seorang yang tenang, peramah dan ceria.

“Banyak kenangan dengannya dan dia seorang mudah didekati. Dalam kumpulan kami, dia antara termuda dan sebab itu kita suka mengusik Zulkifli,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham Zulkifli selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pukul 8.30 pagi kelmarin waktu tempatan.

Menerusi kenyataan Kelab Jelajah Alpine Malaysia, jenazah kini ditempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi pendaki iaitu Illaham Ishak dan Zainudin Lot selamat selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat.

Allahyarham Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi hari Rabu (waktu tempatan) semasa berlindung di snow cave di kawasan dikenali sebagai Football Field pada ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.

Punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui bedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN