fbpx
Bakat lukisan anak kecil ini dikesan ibunya sejak usia enam bulan.

Karya lukisan seniman terkecil dunia laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK anaknya berusia enam bulan, wanita itu telah menyedari bahawa terdapat kelebihan istimewa yang dimiliki oleh puteranya.

Merupakan seorang pelukis dari Ghana, Chantelle Kuukua Eghan menyedari bahawa anaknya, Ace-Liam Nana Sam Ankrah, 1, mewarisi bakat seninya apabila kanak-kanak itu mampu mengenali warna dan rona sepadan.

Menurutnya, hal itu membuatkan dia teruja untuk mengembangkan bakat anaknya dengan menghasilkan karya lukisan sendiri.

“Saya menyedari Ace-Liam mempunyai bakat melukis ketika saya sedang menghasilkan sebuah karya untuk Miss Universe 2023.

“Sebagai ibu tunggal saya perlu menyibukkan anak ketika sedang berkarya dan salah satu cara dengan membentangkan kanvas di lantai dan memberinya beberapa cat warna untuk bermain,” katanya dalam satu temu bual bersama BBC baru-baru ini.

Tambahnya, ketika itu, anaknya yang tertarik dengan warna cerah telah bermain dengan cat tersebut dan merangkak di atas kanvas sehingga tanpa sengaja menghasilkan sebuah karya lukisan.

Jelasnya lagi, apa yang menjadikan lukisan yang diberi nama The Crawl itu sebuah karya seni adalah pemilihan warna-warna cerah dan cat akrilik serta mencipta imej abstrak yang dinamik.

Selepas kejadian itu, Chantelle kemudian menggalakkan anaknya itu untuk bermain cat warna sehingga menghasilkan kira-kira 20 karya seni sehingga kini.

Malah, Ace-Liam juga akan sering meminta untuk melukis dan menjadikan aktiviti itu sebagai hobi kegemarannya.

Kongsi Chantelle lagi, karya-karya yang dihasilkan oleh Ace-Liam disifatkan lebih kepada ekspresi dan penerokaan daripada menyampaikan mesej tertentu.

“Lukisan abstraknya diilhamkan oleh dunia di sekelilingnya iaitu warna, bentuk, tekstur dan moodnya.

“Setiap lukisan adalah ekspresi rasa ingin tahu dan kegembiraannya dalam menemui perkara baharu,” ujarnya menerusi perkongsian di portal Vanguard.

Jelasnya, sesi lukisan Ace-Liam juga adalah spontan dan berpandukan kepada moodnya.

Setelah kawasan lukisannya telah diletakkan dengan kanvas dan cat, dia masuk ke studionya dan memilih saiz kanvas dan warna yang disukai.

“Kemudian dia memanggil saya untuk membuka botol cat untuknya dan kemudian dia mula menyapu cat pada kanvas dengan berhati-hati, namun secara spontan.

“Sesi lukisan boleh berlangsung dari beberapa minit hingga kira-kira setengah jam, bergantung kepada minatnya pada masa itu.

“Kadang-kadang dia meninggalkan lukisan dan kembali kepada lukisan itu selepas beberapa hari untuk menyiapkannya sebelum memberitahu bahawa ia sudah selesai,” kongsinya lagi.

Melihat kepada kepelbagaian hasil seni lukisan anaknya, Chantelle ingin mengetengahkan bakat anaknya kepada dunia menerusi pameran.

Kanak-kanak itu telah memasuki pameran pertama lukisannya secara berkumpulan di Pameran Seni Premium SoundOut yang diadakan di Ghana pada 15 Disember 2023 hingga 21 Januari lalu.

Katanya, sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memecahkan Guinness World Records yang sebelum ini dipegang oleh Dante Lamb dari Amerika Syarikat yang berusia tiga tahun pada 2003, Ace-Liam perlu mengambil bahagian dalam pameran seni dan menjual beberapa lukisannya.

Chantelle mendukung Ace-Liam semasa menyampaikan lukisan kepada Wanita Pertama Ghana, Akufo-Addo yang berminat membelinya.

Hal itu merupakan salah satu syarat yang ditetapkan Guinness World Records selain perlu menyerahkan bukti penjualan karya seni itu bersama dengan maklumat lain.

Tidak hanya itu, karya seni tersebut perlu dihasilkan mengikut standard profesional dan perlu disertakan bukti bahawa karya-karya itu dilakukan sendiri.

Chantelle menjelaskan bahawa lukisan yang dibuat oleh anaknya itu adalah lukisan abstrak.

Dalam pameran tersebut, 10 lukisan ciptaan kanak-kanak itu ditampilkan untuk dijual dan menakjubkan apabila sembilan daripadanya telah dibeli oleh para pengunjung!

Beberapa pelanggan dari Amerika Syarikat dan Britain turut membeli beberapa lukisan Ace-Liam.

Wanita Pertama Ghana, Rebecca Akufo-Addo juga membeli salah satu lukisan kanak-kanak itu yang mana khabar tersebut telah menarik perhatian pihak media serta warga Ghana lain.

Guinness World Records kemudian telah mengiktiraf kejayaan Ace-Liam hasil usaha yang dilakukan ibunya itu.

Ace-Liam berjaya memecahkan rekod dunia. Pengiktirafan itu diumumkan secara rasmi pada sidang akhbar Guinness World Records pada 14 Mei lalu, seperti dilaporkan citinewsroom.

Chantelle turut berkongsi e-mel yang dihantar oleh Guinness World Records yang menyatakan dan mengucapkan tahniah bahawa anaknya telah sah mencipta rekod Artis

Termuda Lelaki Dunia pada usia setahun 152 hari.

“Sukacitanya dimaklumkan bahawa permohonan anda untuk Artis Termuda (lelaki) telah berjaya dan anda kini adalah pemegang gelaran Guinness World Records.

“Anda layak menerima satu sijil percuma. Tahniah, anda secara rasminya mengagumkan,” kata e-mel tersebut.

Selepas rekod artis termuda dunianya diluluskan, keluarga Ace-Liam mula meneroka peluang untuk menempatkannya dalam persekitaran di mana bakat seninya boleh dipupuk melalui pendidikan berkualiti.

Dengan rekod tersebut juga, Chantelle menjelaskan bahawa dia mahu mengembangkan lagi bakat anaknya di persada dunia.

Kongsinya lagi, dia berharap anaknya akan mengikut jejak langkah artis Ghana, Amaoko Boafo dan artis Amerika Syarikat, Jackson Pollock serta Damian Hirst dari Britain.

“Pada saya Pullock merupakan seorang seniman yang sentiasa jujur dalam berkarya. Walaupun sudah tua dia sentiasa bersemangat serta spontan dan begitulah cara saya melihat hasil kerja anak saya.

“Saya juga berharap untuk mendapatkan biasiswa antarabangsa buat Ace-Liam agar dia dapat terus mengembangkan bakat seninya,” katanya.

Tambahnya, dia juga akan terus membawa karya anaknya ke pameran-pameran seni dan pada masa sama mencari peluang antarabangsa untuk menjual karya seninya.

Chantelle juga menasihatkan agar ibu bapa sentiasa menggalakkan dan menyokong minat anak-anak, tidak kira seawal mana pun usia mereka.

“Saya mahu menggalakkan ibu bapa memupuk bakat dalam diri anak-anak mereka sejak kecil lagi.

“Setiap kanak-kanak adalah unik, dan memupuk minat mereka boleh membawa kepada penemuan dan pencapaian yang menakjubkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN