fbpx
Gambar hiasan.

Sukar halang ahli joli duit Akaun 3 KWSP – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMUA pemilik akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun telah distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel atau Akaun Tiga berkuat kuasa 11 Mei lalu.

Penstrukturan itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam. Ada yang menyambut baik langkah itu kerana dapat menampung keperluan hidup semasa.

Sementara ada yang mengatakan bahawa langkah tersebut sesuatu yang tidak wajar, memandangkan ia akan menjejaskan jumlah wang simpanan pencarum pada usia persaraan.

Begitu pun, pakar kewangan beranggapan bahawa keputusan KWSP memberi pilihan kepada pencarum untuk tidak memindahkan caruman mereka ke Akaun Tiga adalah satu langkah wajar.

Bagi mendapatkan kupasan lanjut berkenaan isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Bermula 11 Mei lalu, orang ramai sudah boleh memohon Akaun Tiga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Apakah pendapat Dr. mengenai kewujudan Akaun Tiga yang bersifat fleksibel ini?
MOHD. Afzanizam: Pada pendapat saya, kewujudan akaun ini bertujuan memberi satu kemudahan kepada ahli KWSP untuk mengeluarkan wang mereka atas tujuan peribadi.
Tujuan itu ada pelbagai, sama ada untuk kecemasan, perbelanjaan kos sara hidup dan mungkin juga untuk menyelesaikan hutang.

Justeru, principalnya adalah terpulang kepada ahlinya untuk membuat keputusan. Saya melihat ketika ini KWSP sedang mengalami satu evolusi.

Jika dahulu kita sering melihat KWSP sebagai dana persaraan, namun kini landskap ekonomi semasa berbeza terutamanya kenaikan kos sara hidup, pertumbuhan pendapatan yang agak rata dan kesenjangan pendapatan dilihat semakin melebar.

Maka, ada keperluan untuk membantu ahli-ahli KWSP bagi memenuhi keperluan jangka pendek mereka.

Setidak-tidaknya dengan 10 peratus di Akaun Tiga itu, ahli boleh mengurus kewangan dengan lebih baik.

Jadi, saya fikir KWSP memainkan peranan untuk mengimbangi keperluan semasa dan selepas bersara para ahli.

Ada pihak yang menganggap kewujudan Akaun Tiga ini adalah rentetan daripada pengeluaran KWSP secara ‘one-off’ sebelum ini ketika tempoh Covid-19. Apakah rasionalnya pengeluaran KWSP ketika ini memandangkan kita tidak lagi berperang dengan pandemik?
Jika diingat semula, sebelum berlaku pandemik, ada kajian yang dibuat oleh beberapa institusi menyatakan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia sukar menyimpan wang kecemasan, biarpun berjumlah RM1,000.

Ini adalah dapatan kajian sebelum berlaku pandemik, namun selepas berlakunya pandemik, situasi tersebut semakin menular.

Keperluan tunai itu sangat meruncing ketika itu. Oleh sebab itu, sejumlah RM145 bilion sudah diberikan oleh KWSP dalam bentuk pengeluaran khas.

Ia bertujuan memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi tersebut.

Rentetan daripada situasi itu, saya fikir, strategi KWSP ketika ini adalah untuk memelihara kesejahteraan semua ahli.

Setidak-tidaknya, dalam keadaan semasa ini, ahli mempunyai akses terhadap wang tunai untuk perkara-perkara asas seperti membeli makanan, bayaran sewa dan sebagainya supaya mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Sekiranya ini dipenuhi, maka ahli itu sendiri boleh menjadi pekerja yang lebih efektif, produktif dan pengakhirannya mungkin akan menghasilkan pendapatan lebih baik pada masa akan datang.

Melihat kepada reaksi masyarakat terhadap Akaun Fleksibel ini, bolehkah kita simpulkan bahawa orang ramai betul-betul memerlukan wang bagi menampung peningkatan kos sara hidup ketika ini?
Jika dilihat isu kos sara hidup ini, ia satu isu yang universal dan bukan hanya di Malaysia.

Kalau di negara maju, puncanya adalah disebabkan peningkatan kos bahan api dan elektrik disebabkan oleh perang Ukraine-Russia yang meruncing, sekali gus memberi kesan kepada rantaian perniagaan.

Pada masa sama, apabila berlakunya Covid-19 dan selepas pandemik itu, terdapat perubahan struktur dalam pasaran buruh yang mana majikan sukar untuk mendapatkan pekerja.

Kesukaran ini sebenarnya adalah satu kos perniagaan.

Apabila ringgit pula mengalami kelembaban, ini menambah lagi kos sara hidup.

Ia berlaku di luar kawalan sehingga menyebabkan tekanan kepada rakyat terutama golongan M40 dan B40. Ini menyebabkan KWSP terpanggil untuk turut membantu masyarakat.

Kewujudan Akaun Tiga untuk masa susah. Namun, ada orang yang menggunakan wang ini untuk bermewah-mewah, sekali gus tersasar daripada matlamat asal. Bagaimanakah Dr. melihat fenomena ini?
Seperti yang saya katakan tadi, apabila wang itu dikeluarkan, keputusan untuk menggunakan wang tersebut terpulang kepada ahli tersebut sama ada mereka mahu membazir atau pun tidak.

Bagaimana mahu atasi perkara ini? Jawapannya agak mustahil untuk diatasi kerana keputusan itu terletak pada individu. Apa yang boleh kita buat, pihak KWSP mungkin boleh melancarkan kempen literasi kewangan dengan lebih hebat di peringkat sekolah rendah dan sebagainya.

Saya percaya, program untuk menyedarkan rakyat tentang kewangan ini adalah usaha yang berterusan cuma perlu fikirkan strategi, kandungan dan penyampaiannya agar ia sesuai dengan khalayak. Yang penting, mesej itu sampai kepada orang yang tepat.

Ada pendapat yang mengatakan, kewujudan Akaun Tiga ini akan memberi kesan negatif kepada tabungan hari tua para pekerja di negara ini. Apakah benar perkara ini dan bagaimana ia boleh berlaku?
Ini merupakan satu risiko yang akan berlaku. KWSP sendiri sudah memaklumkan bahawa ramai pencarum yang tidak mencapai simpanan mencukupi untuk hari tua.

Angka yang dikatakan itu adalah RM240,000 yang dianggap sebagai satu jumlah selesa untuk persaraan.

Bagaimana angka itu dikira, KWSP mengambil umur pesara 60 tahun dan menganggap mereka mengeluarkan duit berjumlah RM1,000 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

Ini adalah andaian, namun masih ramai yang belum mencapai jumlah itu. Hakikatnya, jumlah itu tertakluk kepada gaya hidup individu.

Jika bercakap tentang risiko, memang ada. Namun, permasalahan utama adalah tak lain dan tak bukan adalah gaji.

Gaji tidak mencukupi, gaji tidak naik dan sebagainya. Gaji ini perlukan dasar lain pula seperti Dasar Gaji Minimum atau Dasar Gaji Progresif yang merupakan antara usaha kerajaan untuk memperbaiki isu ini.

Namun hakikatnya, gaji ini diibaratkan seperti harga barang. Kita sebagai pekerja menjual perkhidmatan dan harganya (gaji) ditentukan oleh pasaran. Jadi, apabila bercakap tentang gaji, ia melibatkan proses jangka panjang dan sangat subjektif.

Terdapat sesetengah pencarum ingin menggunakan wang daripada Akaun Tiga sebagai simpanan semasa kecemasan. Ini kerana, zaman sekarang sukar untuk menyimpan wang. Adakah ia satu langkah tepat atau mereka perlu buat simpanan lain untuk kecemasan?
Perkara utama yang kita kena ambil maklum bahawa program ini tertakluk kepada ahli KWSP. Maksudnya, mereka yang bekerja dan mempunyai caruman KWSP.

Mereka yang bekerja sendiri atau yang tidak mencarum KWSP tidak termasuk.

Jadi, apa yang dibahaskan ketika ini adalah tertakluk kepada ahli KWSP. Namun, situasinya berbeza pula buat mereka yang bukan ahli KWSP kerana itu adalah cerita lain.

Ada orang mahu guna wang daripada Akaun Tiga untuk menambah kekayaan. Pada pendapat Dr., apakah yang mereka perlu lakukan bagi memanfaat wang tersebut, bolehkah guna untuk pelaburan dan sebagainya?
Satu perkara yang perlu difahami adalah pelaburan itu penting. Pertama, apabila kita mendapat wang sama ada dengan bekerja atau menjalankan perniagaan, kita akan menyimpannya di rumah atau bahasa lain ‘duit bawah bantal’.

Biarpun mempunyai wang tunai yang banyak, perbuatan tersebut sebenarnya menyebabkan wang itu terhakis kerana inflasi.

Mengikut jangkaan saya, setiap tahun inflasi akan meningkat sebanyak 2.5 peratus.

Maksudnya, setiap tahun, seseorang itu akan kehilangan kuasa beli sebanyak 2.5 peratus (secara purata).

Contohnya, jika nilai wang itu ketika ini RM1,000, tahun depan ia bukan lagi RM1,000 dan ini menunjukkan nilai berkenaan sudah terhakis.

Maka, duit itu sebaiknya diletakkan di mana-mana institusi pelaburan yang boleh menghasilkan satu pulangan bagi melawan arus inflasi.

Mengulas isu pelaburan pula, ia berkait rapat dengan risiko. Hukum pelaburan pula, semakin tinggi pulangan, maka semakin tinggilah risikonya. Maka, seseorang itu perlu tanya iman. Maksudnya, tanya diri sendiri, di mana mahu melabur, berapa yang mahu dilaburkan?

Jika bimbang duit habis kerana melabur, maka instrumen pelaburan berisiko rendah lebih sesuai seperti deposit, unit amanah dan sebagainya yang memberi pulangan sekitar lima peratus setahun.

Biarpun hanya lima peratus, namun setidak-tidaknya ia mengatasi inflasi. Jadi, duit yang ada itu akan terus berkembang dan mengatasi kadar inflasi.

Dengan kewujudan Akaun Tiga ini, adakah perlu tahap celik kewangan pencarum ditingkat terutamanya generasi muda hari ini yang terkenal dengan gaya hidup mewah?
Bagi saya, celik kewangan ini sudah jadi satu ‘survival skill’ atau kemahiran hidup memandangkan terdapat banyak cabaran seperti cabaran kos sara hidup dan sebagainya.

Bagi melawan ‘benda’ ini, kita perlukan ilmu.

Saya rasa program literasi kewangan ini perlu disusun. Usahanya dilihat sudah ada, namun ia perlu sentiasa diperbaiki dan ditambah baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN