fbpx
Gambar hiasan

Tak sangka ada mangsa dua kali kena scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sudah bertebaran berita perihal sindiket penipuan kewangan atau lebih dikenali sebagai scammer di media sosial, namun ada saja yang menjadi mangsa.

Melihat laporan-laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelumnya, golongan yang terjerumus dalam kancah sindiket penipuan ini tidak mengenal usia, bangsa, taraf pendidikan mahupun kerjaya.

Tidak dapat disangkal, scammer kini semakin licik dalam mengatur strategi mereka mencari mangsa, malah mereka sangat ‘up-to-date’ termasuklah berani menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Bagaimanapun, penulis rasa terpanggil untuk berkongsi semula isu seorang pesara wanita yang ‘berputih mata’ selepas diperdaya buat kali kedua sehingga kerugian lebih RM638,000.

Mangsa mendakwa telah menerima e-mel dari scammer pada Februari lalu, yang kononnya dari pihak Siber Sekuriti Cyprus yang menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula wang pelaburan bernilai USD4,000 (RM18,750) yang telah pengadu sertai pada tahun 2020.

Selain diminta membuat bayaran untuk proses tersebut, wanita terbabit juga tidak serik menyertai skim pelaburan kripto yang menjanjikan keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebelum kerugian lebih RM619,000.

Usai mendengar perkongsian ini dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, penulis secara peribadi rasa terkilan dan termenung sejenak dengan gaya pemikiran mangsa yang mahu mengaut keuntungan secara ‘shortcut’ sebegini.

Untung tak dapat, duit pun lesap. Sikap tamak serta keterujaan dengan janji manis sindiket membuatkan mangsa sanggup menyerahkan duit tanpa berfikir panjang dan pada hujungnya scammer juga yang ‘makan besar’.

Menurut Ramli, bermula 1 Januari hingga 12 Mei tahun ini, sejumlah 11,696 kes jenayah komersial telah direkodkan bersamaan dengan purata 88 kes sehari dan membabitkan 5,550 kertas siasatan yang berjaya dituduh di mahkamah.

Berdasarkan rekod bermula 1 Januari hingga 30 April lalu, sebanyak 10,179 kertas siasatan telah dibuka dan 6,855 kes jenayah bersindiket yang mana 1,767 daripada jumlah itu adalah membabitkan sindiket penipuan pelaburan.

Sepanjang tempoh itu, sindiket penipuan pelaburan ini telah berjaya melesapkan RM231.47 juta daripada mereka yang ghairah dengan keuntungan jangka pendek.

Justeru, suka untuk diingatkan kepada para pembaca agar sentiasa peka serta celik dengan berita semasa mengenai sindiket dan tidak sewenang-wenangnya melakukan transaksi pindahan wang sekiranya meragukan.

Jangan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’ dan seharusnya perlu ada rasa serik dalam diri daripada melakukan perkara sama. Usah biarkan sindiket seperti ini besar kepala dengan aktiviti terkutuk dan biarkan mereka menikmati wang hasil titik peluh berpuluh-puluh tahun anda.

Untuk pengetahuan pembaca, pengguna boleh melayari ‘Semak Mule’ di https://semakmule.rmp.gov.my/ untuk menyemak akaun bank serta nombor telefon yang digunakan oleh sindiket.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN