MENU Rahmah membantu orang ramai menikmati makanan pada harga murah – GAMBAR HIASAN

Peniaga mula lupakan Menu Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menu Rahmah yang dijual bagi membantu meringankan beban orang ramai terutama golongan B40 ketika ini dilihat semakin sukar didapati selepas sebilangan peniaga mengambil keputusan menghentikan penjualan hidangan berharga RM5 berkenaan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, keputusan peniaga memilih untuk tidak meneruskan lagi inisiatif tersebut berikutan kurang mendapat sambutan selain tidak mampu menanggung kos bahan mentah yang tinggi ketika ini.

Rata-rata peniaga tersebut mendakwa harga set makanan yang diperkenalkan serendah RM5 itu cuma mampu bertahan tiga hingga enam bulan sahaja.
Di George Town, peniaga nasi campur, Saiful Yahaya berkata, dia hanya menjual Menu Rahmah kira-kira enam bulan sebelum penjualannya dihentikan penghujung tahun lalu.

Akuinya, selain berdepan dengan kenaikan harga kos bahan mentah yang mendadak dan tidak menentu terutama bawang, gula, beras import, sos, ayam serta
sayur-sayuran, sambutan pe­langgan terhadap pelaksanaannya juga turut berkurangan.

“Cuma 10 hingga 20 peratus pelanggan sahaja yang datang membeli set Menu Rahmah iaitu nasi putih, ayam dan sayur sejak ia diperkenalkan. Kadang-kadang hanya seorang sahaja yang meminta membelinya.

“Memang tak bawa balik mo­dal pun, untung pun kurang RM1 berbanding menu nasi campur dengan 50 jenis lauk-pauk yang sedia ada dijual di gerai ini.

“Pemilihan nasi dengan aneka lauk ini juga sudah boleh didapati pada harga berpatutan, lebih daripada Menu Rahmah iaitu sekitar RM2.50 hingga RM4.50. Semuanya terpulang pada bajet dan kemampuan pelanggan itu sendiri,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, penyelia sebuah restoran nasi kandar di George Town yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, Menu Rahmah yang diperkenalkan di premis itu juga hanya bertahan selama tiga bulan.

“Mula-mula diperkenalkan memang ada sambutan tetapi dalam kelompok pelanggan terdiri pekerja warga asing dan kumpulan pelajar.

“Bagaimanapun pada bulan seterusnya, permintaan semakin berkurangan dan pelanggan yang sama dilihat memilih lauk atau makanan lain, pada harga kurang RM10,” katanya.

Seorang lagi pengusaha gerai nasi campur di Sungai Ara, Bayan Lepas berkata, dia amat mengharapkan agar kerajaan serius mengawal harga barangan mentah supaya tidak membebankan para peniaga makanan.

KENAIKAN kos bahan mentah menjadi antara punca golongan peniaga tidak dapat meneruskan Menu Rahmah.
– GAMBAR HIASAN

“Kenaikan harga bawang merah sehingga RM45 hingga RM48 bagi setiap tujuh kilogram, beras import , minyak masak, ayam dan sayur-sayuran amat memberi kesan kepada kami ketika ini.

“Bagaimana hendak kami te­ruskan Menu Rahmah jika harga barangan mentah yang berada di pasaran terus naik.

“Kami tiada pilihan melainkan menghentikan Menu Rahmah yang diperkenalkan bagi tujuan meringankan beban dan kos sara hidup rakyat selepas berdepan krisis kewangan,” tambahnya.

Di Ipoh, seorang peniaga, Mohd. Hamdan Rasidi berkata, dia terpaksa menghentikan penjualan Menu Rahmah selepas pelanggan tidak mahu menikmati hidangan merangkumi lauk-pauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap, kari ikan serta sayur-sayuran berharga RM5 itu.

“Ia merupakan satu pembaziran apabila lauk yang saya asingkan bagi Menu Rahmah tidak habis dijual.

“Selain itu, dengan peningkatan kos barangan mentah dan lain-lain menjadikan sukar untuk kami menyerap kos operasi bagi Menu Rahmah,” katanya.

Sementara itu di Melaka, promosi Menu Rahmah yang kurang didakwa menjadi punca rata-rata peniaga tidak lagi terdorong untuk meneruskan program itu sejak hujung tahun lalu.

Pemilik restoran Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 57, berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan situasi di mana peniaga berdepan masalah bekalan beras, minyak dan gula.

“Promosi menu ini pun suram dan tidak dipromosikan seperti sebelumnya,” ujarnya.

Bagi pemilik Restoran Asam Pedas Lagenda, Mohd. Rasydan Ramli, pihaknya masih menawarkan Menu Rahmah setiap hari tetapi jumlah permintaan semakin berkurangan berbanding pertengahan tahun lalu.

“Setiap hari kira-kira 10 bungkus akan terjual, tidaklah sebanyak tahun lepas kita jual lebih 30 bungkus,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN