LANGKAWI, Kedah amat terkenal dengan percutian bajet bersama ahli keluarga.
Baru-baru ini, saya dan keluarga berpeluang melawat Langkawi selama empat hari tiga malam dengan bajet RM300 untuk setiap seorang.
Bajet ini tidak termasuk kos makan dan minum. Pada kami, bajet tersebut sangat berpatutan memandangkan kami bercuti seisi keluarga iaitu seramai 10 orang.
Kami menaiki feri roll on roll off (RORO) yang boleh mengangkut kenderaan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi.
Namun, ketika membeli tiket, ruang kenderaan dalam feri tersebut telah penuh.
Oleh itu, kami hanya berkesempatan membeli tiket tempat duduk.
Walaupun begitu, kami tetap gembira kerana tempat duduk feri tersebut seperti berada dalam first class kabin.
Keluasan feri RORO besar dan sesuai untuk mereka yang mabuk laut kerana ia stabil dan selesa.
Percutian kami bermula dengan check in ke Airbnb (inap desa) yang terletak berdekatan dengan Pekan Kuah.
Dengan hanya RM300 semalam, kami dapat tinggal di rumah tiga bilik dan dua bilik air, selain dilengkapi sebuah kolam renang.
Setelah selesai urusan meletakkan barang di dalam inap desa, kami makan di Restoran Rasa Kampung dengan lauk kampung asli Langkawi.

Pada hari kedua, kami memulakan aktiviti dengan menikmati sarapan pagi di warung Roti Canai Sarang Burung Sungai Cenang.
Selepas sarapan, kami sekeluarga terus ke Pantai Cenang untuk bermain air sambil minum air kelapa di tepi pantai.
Air laut di Pantai Cenang masih segar dan cetek di pagi hari, jadi ia sangat sesuai untuk anak-anak kecil bermandi-manda.
Oleh kerana kami datang dalam kumpulan besar, ada juga ahli keluarga penulis membawa makanan untuk berkelah di tepi pantai.
Setelah puas di Pantai Cenang, kami teruskan aktiviti dengan lawatan ke Skycab Langkawi untuk menaiki kereta kabel.
Sudah tentu golongan yang paling teruja menaiki kereta kabel adalah kanak-kanak.
Bagi mereka yang bercuti dengan bayi berusia 12 bulan dan ke bawah, saya sarankan supaya anda mengambil pakej kereta kabel lengkap.
Atas faktor cuaca yang teramatlah panas, saya sarankan agar anda semua sediakan air kosong, payung dan pakai krim pelindung matahari.
Pada hari ketiga, kami memulakan hari dengan sarapan nasi lemak ayam goreng terkenal di Pekan Kuah. Kami juga membawa sedikit bekalan makanan dan air sebelum menaiki bot laju.
Dengan menaiki bot, kami dapat melawat sangkar ikan, Gua Kelawar, beri helang makan, selam snorkel di Pulau Dangli dan berenang di pantai peribadi yang telah ditempah khas.
Kami sangat bertuah pada hari itu kerana dapat menyaksikan sekumpulan ikan lumba-lumba yang datang berdekatan bot semasa berenang di pantai peribadi.
Selepas habis aktiviti di air, kami menghabiskan masa berehat di Pantai Cenang.
Bagi ahli keluarga yang lebih tua, mereka memilih untuk ke spa untuk urutan badan.
Selepas itu, kami semua makan malam di Restoran Telaga Seafood dengan harga makanan yang kami pesan untuk 10 orang sangatlah memuaskan.
Kami dapat makan udang galah, ketam bunga, ikan siakap tiga rasa, butter chicken, sayur goreng, tomyam campur, telur dadar dan nasi.
Pada hari terakhir, kami bertolak pulang ke Kuala Kedah dari Langkawi pada pukul 9 pagi.
Itulah pengalaman saya bercuti di Langkawi dengan bajet RM300 seorang untuk empat hari tiga malam.
Pada saya, ia sangat memuaskan dan kami pasti akan datang lagi ke Pulau Legenda itu selepas ini.














